BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

11 Julai 2011

Hadirmu Kala Ini

Bismillah.. Kepada para pembaca blog, cerpen ini merupakan sambungan kepada cerpen Demi Senyuman Itu, tulisan saya. Selamat menghayati. ^_^


Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11.25 malam. Masa yang beredar dirasakan begitu lambat. Dia menghembuskan nafas yang berat perlahan-lahan. 35 minit lagi, 12 Julai akan tiba. 12 Julai. Tarikh yang terlalu bermakna untuknya. Kerana pada tarikh itulah dia mula melihat dunia yang serba indah ini 19 tahun lalu. Dan tarikh itu juga merupakan hari ulang tahun kelahiran yang ke-20 sahabatnya, Encik Tembam. Sahabat yang sangat rapat dengannya. Dialah peneman suka dan duka. Dialah penyokong yang setia. Dan dialah juga yang sudi mendengar segala cerita. Namun, kini dia tiada lagi. Meninggalkan dunia lima bulan lalu, menghadap Tuhan yang meminjamkan nyawa kepada semua ciptaanNya. Tuhan yang mengizinkan setiap jantung berdegup, mengalirkan darah ke seluruh jasad. Dadanya mula sebak. Segala kenangan mula membanjiri fikirannya. Matanya yang tertutup rapat mula basah. Telefon bimbit yang berada di tangan dipegang erat. Di dalam telefon bimbit itu, masih tersimpan mesej-mesej daripada Encik Tembam. Tersimpan seribu satu kenangan di dalamnya. Segala suka duka, tangis tawa. Rasa rindu yang sarat semakin membuak-buak.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Terkejut ketika sedang asyik melayan perasaan, telefonnya itu hampir terlepas ke lantai. Mujur tangannya sempat menyambutnya kembali. Mata Farah yang berkaca itu menatap nama pemanggil yang tertera. Bibirnya mula menguntum senyuman. Toha Hanafi, jejaka yang baru dikenalinya sebulan lalu. Berperangai gila-gila hampir setiap masa tetapi bersikap cukup matang apabila diperlukan. Dialah sentiasa memberikan pendorong semangat supaya tidak terlalu terbawa dengan kenangan lalu. Dia juga yang berusaha memerah otak agar senyuman Farah berada di tempatnya selalu.

“Jangan lupa jaga bibir tahu..” Farah masih teringat ketika pesanan Toha ketika dia hendak bercuti ke Cameron Highland bersama keluarga. Maksudnya adalah senyum selalu. Istilah yang cukup kelakar kerana Toha sendiri mempunyai satu tabiat yang aneh bagi Farah iaitu tidak pernah senyum ketika bergambar. Alasannya, giginya yang berlapis kelihatan kelakar jika senyum. Setelah pujukan demi pujukan, barulah Toha berjanji untuk berbuat demikian. Semata-mata untuk membuat dirinya tersenyum. Demi senyuman Farah semata-mata. Terima kasih, awak, kerana sudi meneman saya kala ini.

Awak genggam kenangan itu sebagai bingkai hidup yang telah berlalu tapi jangan sekali awak hidup dalam kenangan tu. Kerna, kenangan, melihatnya amat indah dan manis, namun hidup di dalamnya ibarat racun yang memakan diri. Cari kembali sinar awak, Farah..” Kata-kata Toha itu sentiasa terngiang-ngiang di fikirannya.

Telefon bimbitnya berhenti berdering. Farah terkedu. Terlalu asyik melayan perasaannya sehingga terleka, panggilan tersebut lupa untuk diangkat. Dia tertawa kecil seraya menggelengkan kepalanya. Hati kecilnya mengutuk diri sendiri. Titisan jernih yang tumpah dari kelopak matanya dilapkan. Gelora di jiwanya cuba ditenangkan. Farah mengusap dadanya perlahan.

Sekali lagi, telefon bimbitnya yang berjenama Sony Ericsson itu berdering. Sepantas kilat Farah menjawab panggilan dari sahabatnya itu.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam..” Farah menjawab salam yang diberi.

“Buat apa tu? Sibuk ke? Sampai orang telefon tak angkat..” soal Toha.

“Tak buat apa pun. Hmm.. Ada apa telefon orang malam-malam ni?” tanya Farah kembali. Suaranya serak basah.

“Saya telefon ni untuk wish sempena ulang tahun kelahiran awak..” jawab Toha perlahan.

Mata Farah mengerling ke arah jam di dinding sekilas. “Sekarang baru pukul 11.30. Birthday saya tak sampai lagi.” Jelas Farah. Hatinya diserbu kehairanan. ‘Kalau betul nak wish, tunggulah pukul 12 nanti. Baru masuk 12 Julai. Apalah mamat ni. Hmm..’ getus hati kecilnya.

“Saya tahu..tapi saya sengaja telefon 30 minit lebih awal..”

“ Kenapa pula? Tak pernah dibuat orang.”

“Sebab tak pernah dibuat orang la saya nak buat. Saya nak jadi orang pertama yang wish sempena birthday awak. Ditakuti ada orang lain akan mendahului, saya telefon awak sekarang. Selamat ulang tahun kelahiran, awak..” Jelas Toha. Andai Farah dapat melihatnya sekarang, pasti akan terserlah senyuman lebar di bibir Toha sekarang.

Farah terkedu. Tangan kanannya menutup mulut. Dia tidak terkata. Bibirnya bagaikan terpaku seketika. Menelefonnya 30 minit awal semata-mata untuk menjadi orang yang pertama mengucapkan selamat hari lahir kepadanya. Toha memang penuh dengan kejutan. Ada sahaja ideanya untuk mengukir senyuman di bibir Farah. Farah memejamkan matanya. Nafas yang berombak di dada dihembus perlahan. Farah menguntum senyuman manis.

“Terima kasih. Hmm.. wish sahaja? Hadiah tak ada?” Farah mengusik.

“Wah.. demand.. Bagi tumit, nak lutut..”

“Ada hadiah tak untuk saya ni?”

“Tak ada duitlah nak belikan awak hadiah. Duit dah habis buat beli blusher, bak kata Rafiq. Haha..” Jawab Toha bersahaja. Dia sememangnya jarang berfikir dua kali sebelum berkata-kata. Berperangai seperti kanak-kanak pra sekolah. Namun, jawapannya itu masih dapat membuatkan si manis Farah tersenyum.

****************************************************

Fajar merekah kemerahan di sebelah timur. Sinar mentari bergerak menerobos menyingkir kegelapan. Cuaca pada pagi ini cerah. Namun, cerahnya pagi ini belum dapat mencerahkan perasaan suram sebahagian warga Universiti Teknologi Malaysia. Hari ini merupakan hari yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka kerana keputusan untuk peperiksaan semester lepas diumumkan pada hari ini. Bagi mereka yang berhempas pulas untuk mendapatkan gred yang membanggakan, perasaan yakin terpacak di dada manakala bagi mereka yang bersikap sambil lewa, keluh resah menghimpit jiwa. Apa yang diusahakan, itu yang akan diterima.Mata Toha meliar-liar mencari seseorang. Himpunan manusia yang sibuk melihat keputusan yang ditampal di papan kenyataan diredahnya walaupun sukar. Sesekali, kepalanya tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan namun kelibat manusia yang dicarinya masih belum dilihat. Kerutan mula membentuk di dahinya. ‘Mana Farah ni?’ bentak hati kecilnya.

Setelah puas mencari, akhirnya Toha menemui Farah bersama beberapa orang rakan sekelas yang lain di kafetaria yang hingar-bingar kerana dipenuhi oleh para pelajar. Masing-masing sedang menjamah makanan sambil berborak rancak. Rafiq si mulut murai turut berada di situ. Perlahan-lahan, Toha menyusup ke belakang Rafiq yang sedang khusyuk mengunyah dan menyergahnya.

“Mak kau meletup!” jerit Rafiq sekuat hati. Sedikit makanan yang sedang dikunyahnya tadi tersembur keluar. Rafiq terbatuk-batuk sambil mengusap-usap dadanya.Rakan-rakan sekelas yang berada di situ ketawa kerana digeletek rasa lucu manakala Toha yang melontarkan sengih.

“Tak guna punya kawan.. Tak reti nak bagi salam ke? Ada ke sergah masa aku tengah makan? Kalau aku mati tercekik, siapa susah? Kau juga susah, Toha! Sebab tanpa aku, mana kau boleh rapat dengan Farah. Haa..” ujar Rafiq spontan. Suaranya yang lantang boleh didengari hampir semua orang yang berada di situ. Mendengar kata-kata Rafiq itu, Farah tertunduk segan. Wajahnya merah padam.

“Eh, eh.. Tengok.. Farah blushing.. Mahal tu.. “ usik Rafiq lagi.

“Wei, seven eleven! Kau ni masa makan pun kecoh. Ada juga sudu yang melekat kat dahi nanti.” Ugut Toha.

Kerutan membentuk di dahi Rafiq. Dia mengelipkan matanya beberapa kali. Wajahnya seakan-akan mamai, seperti orang yang baru sahaja bangun dari tidur. Mulutnya ternganga. Kemudian, dia mengambil sebatang sudu lalu digosok-gosokkan di dahinya bersungguh-sungguh. Rautnya wajahnya menunjukkan kehairanan. Sudu yang dipegang tadi diletakkan kembali.

“Tak boleh lekat pun sudu ni kat dahi..” ucap Rafiq bersahaja. Ekspresi mukanya seolah-olah dia tidak tahu apa-apa. Melihat gelagat Rafiq itu, rakan-rakan sekelasnya terus ketawa terbahak-bahak. Rasa bagaikan hendak pecah perut. Macam tiada perasaan sahaja si Rafiq ni. Rafiq oh Rafiq..

“Kau kenakan aku ya.. Siap kau nanti!” tegas Toha. Bibirnya diketap. Rasa geram terhadap ‘Seven Eleven’ memenuhi dada. Jari-jemarinya digenggam erat-erat.

“Kenapa? Kau nak belanja aku makan sup kasut kau ke? Tak apalah, Toha.. Aku baru saja makan. Esok-esok jelah ya..” Rafiq menjawab dengan pantas. Jawapannya itu sekali lagi disambut dengan gelak ketawa rakan-rakannya. Ada yang tergelak sehingga mengeluarkan air mata.

Setelah menyelesaikan makan tengahari di kafetaria, Farah berjalan pulang ke kolej kediamannya. Langkahnya yang lembut itu begitu perlahan. Kedua tangannya memeluk tubuh. Farah menghembuskan nafas. Pandangan matannya dilontarkan ke langit. Memori lalu bermain-main di kotak fikirannya. Belum sempat kakinya hendak melangkah masuk ke kawasan kolej perempuan yang berpagar itu, satu suara memanggilnya dari belakang.

“Farah..”

Farah lantas berpaling ke arah suara yang menyeru namanya. Di depannya, berdiri Toha berkemeja putih berjalur biru muda. Kelihat sedikit keringat di dahinya dek kerana disimbah sinar sang mentari yang panas.

“Macam mana keputusan awak?” tanya Toha. Nafasnya kedengaran sedikit termegah.

“Awak ikut saya sampai kolej semata-mata untuk tanya pasal ni?” tanya Farah kembali tanpa menjawab soalan yang dilontarkan.

“Saya perasan kat kafe tadi wajah awak muram je. Kalau saya tanya awak kat sana, mesti awak tak menjawab.”

Farah menghirup nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya kembali. “Pointer saya cuma 3.17, Toha. Teruk..” Farah bersuara perlahan. Suaranya bernada sayu. Semester kedua, dia dilanda ujian yang sangat berat. Setelah kehilangan Encik Tembam yang tersayang, tumpuan dan kesungguhannya turut melayang. Hampir dua bulan, Fara cuba menstabilkan emosinya sendiri, berlawan dengan gelojak, kepedihan yang membaluti setiap inci jiwanya. Cuba menolak kesedihan yang merantai dirinya dari mengecap bahagia. Dan selama itu jugalah, mindanya tiada di kuliah. Melayan perasaan yang melayang bagaikan ke hujung dunia, mengikuti si ‘dia’ yang telah menjenguk kehidupan yang kekal selamanya. Jiwanya terasa ditoreh-toreh dengan belati saat itu.

“Awak rasa kesal tak kerana bersikap macam tu semester lepas?” tanya Toha. Farah hanya memberikan anggukan yang perlahan sebagai jawapan.

“Agak-agak kalau sahabat awak yang telah ‘pergi’ tu tahu keputusan ni, mesti dia kecewa juga kan?” Toha bersuara lagi.

Farah hanya menundukkan kepalanya. Pandangan matanya dilontarkan ke arah bumi yang dipijaknya ketika itu. Dadanya mula berombak.

“Farah.. tiada siapa yang sayangkan awak mahu awak berkeadaan seperti sekarang. Semua orang nak lihat awak berjaya, nak lihat hidup bahagia. Semua orang, Farah. Termasuklah keluarga awak, kawan-kawan awak, saya sendiri mahupun dia yang telah pergi.

Kembalikan Farah yang kami semua kenal. Farah yang gembira, menikmati saat-saat kehidupannya kini, bukan Farah yang asyik hanyut bersama-sama kenangan yang takkan kembali walaupun diingati sejuta kali. Cari kembali sinar itu, Farah.. Sinari hidup kami di sekeliling awak.. Hargailah kami yang masih hidup ini sementara waktunya belum tiba.. Kerana sesal kemudian tidak berguna lagi..” bisik Toha perlahan. Raut wajahnya seakan merayu. Matanya bagaikan mengharap sejuta harapan daripada Farah. Hatil kecil Toha berharap agar kata-katanya itu didengari oleh insan yang bernama Farah Izzati. Kerana hanya hati yang bisa berbicara dengan hati.

***************************************************

“Perhatian kepada semua penumpang pesawat Malaysia Airlines ke Melbourne, Australia pada jam 1.00 tengahari. Sila berada di balai berlepas 30 minit sebelum masa berlepas.” Pengumuman tersebut bergema di sekitar pintu C, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mendengar pengumuman tersebut, Farah lantas bangkit lalu bersalaman dan berpelukan dengan ahli keluarganya. Perasaan hiba perlahan-lahan menghimpit jiwa. Titisan jernih berjuraian di pipi tanpa ditahan-tahan. Rasa sebak di hati menikam kalbu. Ibu dan kakaknya dipeluk erat-erat diselangi dengan tangisan.

Sebelum berpisah, ibu Farah mengucup dahi Farah perlahan-lahan buat kali terakhir, dengan penuh kasih sayang. Itulah anaknya yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Segalanya telah dicurah untuk anaknya yang bernama Farah Izzati itu. Anak itu juga yang membanggakannya dengan berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang di Universiti Teknologi Malaysia. Malah, kini anak yang dicintainya itu akan ke Melbourne, Australia untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana ditaja oleh Mara. Kelopak matanya dibanjiri dengan air mata. Memang benar, kasih sayang merupakan pengikat jiwa. Apatah lagi jikalau darah daging sendiri. Pelbagai pesanan dari kedua ibubapanya disemat di dalam jiwa. Rasa risau menyerbu sanubari kedua ibu bapa Farah. Ibu bapa mana yang tidak risau akan anak mereka yang akan pergi ke luar negara walaupun untuk menyambung pelajaran.

Setelah itu, Farah meluru pula ke arah rakan-rakan sekelasnya selama belajar di UTM. Mereka juga berpelukan dan bersalaman dengan penuh kasih sayang. Jalinan ukhuwah yang terbina selama beberapa tahun itu cukup kuat untuk berkekalan sehingga akhir hayat. Masing-masing mengucapkan selamat kepada Farah. Setiap kata-kata mereka disisipkan di dalam hati untuk dijadikan pedoman dan pegangan. Terima kasih, sahabat..

Namun begitu, seseorang yang amat penting baginya tiada di situ. Tiada di saat-saat terakhir Farah menjejakkan kakinya di bumi Malaysia.

“Kau cari Toha ya, Farah? Bukankah dia dah bagitahu yang dia sedang sibuk mempromosikan novel pertamanya kat Kuala Lumpur? Tapi dia ada cakap juga yang dia akan usaha untuk datang. ” soal Rafiq apabila melihat gelagat Farah yang asyik tertoleh-toleh.

“Mm.. aku tahu.. Tak apalah.. Aku tunggu lagi 10 minit. Kalau dia tak sampai juga, aku masuk sajalah..” jelas Farah sambil tersenyum kelat. Hati kecilnya berharap agar sahabat baiknya sempat untuk tiba di situ sebelum pemergiannya. Mata Farah mengerling sekilas ke arah jam yang perlahan-lahan berdetik.

Saat demi saat bergerak namun kelibat Toha masih tidak kelihatan. Setelah 10 minit berlalu, insan yang bernama Toha Hanafi, yang sentiasa menyokong dirinya saat dia suka mahupun ketika berteman duka, masih tidak tiba di pintu C tersebut. Dengan wajah yang penuh kehampaan, Farah berpaling menghadap balai berlepas. Berjalan setapak demi setapak bersama bagasi yang berada di tangan kanannya. Farah menghembuskan nafas berat. Air matanya hampir tumpah. ‘Toha.. Awak sentiasa ada dengan saya setiap waktu.. Tapi kenapa hari yang paling penting dalam hidup saya awak tiada?’ bentak hati kecil Farah. Rasa kecewa memenuhi segenap ruang hatinya.

“Farah!” tiba-tiba kedengaran satu suara memanggilnya. Kedua matanya ditutup. Langkah Farah terhenti, bagaikan terpaku di situ. Suara itu. Farah kenal suara itu! Itulah suara yang sentiasa terngiang-ngiang di kotak fikirannya. Suara yang sentiasa berpesan kepadanya agar senyum selalu. Suara yang sentiasa tenang membantunya melupakan kenangan yang merantai. Suara yang memberikannya semangat dan dorongan untuk bangkit dalam hidup Itulah suara yang menyeru Farah agar mencari kembali sinar hidupnya.

Perlahan-lahan, Farah berpaling. Matanya dibuka perlahan-lahan. Mengharapkan insan tersebut berada di situ. Matanya mencari-cari si dia. Namun, hanya rasa hampa yang ditemuinya. Toha tiada di situ. Tapi.. suara siapakah tadi? Adakah sekadar imaginasinya? Rasa hairan menyerbu benak fikirannya. Air matanya mula hendak tumpah dari takungan.

“Awak cari saya ya?” tiba-tiba suara itu muncul lagi dari belakang. Farah tersentak seraya berpaling ke belakang sepantas kilat.

Toha!!! Ya, lelaki itu sedang berdiri di hadapannya kini. Wajahnya dihiasi segarit senyuman dan sepasang mata yang basah. Akhirnya, air mata Farah yang ditahan-tahan dari tadi tumpah jua. Rasa sedih menyelubungi dirinya.

“Menangis pula.. Awak tak suka saya datang ya?” usik Toha. Nada suaranya sayu. Titisan jernih turut menitis dari matanya.

“Kenapa awak datang lambat?” marah Farah. Kedua tangannya mencekak pinggang.

Toha melontarkan sengih tatkala ditanya sebegitu. Dia mengelap air matanya sebentar. “Mana ada.. Saya datang awal tahu. Tapi saya menyorok belakang tiang. Bila nampak awak menangis sebab saya tiada, barulah saya sergah awak.. Hihi..” Toha ketawa terkekek-kekek. Padahal hatinya dihujani air mata duka.

Mendengar jawapan Toha, Farah memuncungkan bibirnya. “Awak jahat.. Tak nak kawan awak..”

“Kalau tak nak kawan, saya balik sekarang..” Toha pura-pura merajuk dan berpaling, hendak berlalu pergi.

“Alah.. Saya gurau je..” pujuk Farah balik. Matanya habis merah dan basah. Toha kembali berpaling menghadapnya sambil tersenyum. Suasana di situ sangat mengharukan sesiapa yang melihat. Rakan-rakan sekelas mereka turut mengalirkan air mata. Tersentuh dengan situasi tersebut.

“Awak.. Terima kasih sebab bagi sokongan kepada saya.. Terima kasih untuk segalanya..” ucap Farah bersungguh-sungguh. Keikhlasan Toha mendampinginya selalu sangat dihargainya. Langsung tidak diminta sebarang balasan. Oh, ya.. Ada sesuatu yang dimintanya. Toha memintanya untuk senyum selalu.

“Segalanya.. Apa yang saya buat untuk awak?” Toha mengerutkan dahinya. Wajahnya serius. Pura-pura tidak memahami.

Tiba-tiba. kedengaran panggilan terakhir untuk ke balai berlepas bagi penerbangan Farah. Farah yang mendengar pengumuman tersebut semakin sebak seraya mengelap air matanya. “Kalau saya senaraikan satu demi satu, terlepas penerbangan saya, awak.. Satu sahaja saya bagitahu, awak kembali sinar dalam hidup saya..” ucap Farah sayu. Bagasi di tangannya dipegang erat. Saat perpisahan kian hampir.

“Awak yang dapatkan kembali sinar tu, Farah.. Saya cuma bawakan torchlight saja..” jawab Toha bersahaja. Kedua-dua mereka tergelak. Rasa hiba menyelimuti suasana.

Farah mula mengorak langkahnya. “Saya gerak dulu, Toha.. Awak jaga diri.. Assalamualaikum..” ucap Farah perlahan sebelum berpaling pergi. Bagasinya ditarik perlahan.

“Waalaikumsalam..” jawab Toha. Dadanya berombak. Air matanya tumpah tidak henti. Matanya memerhatikan sahabatnya itu melangkah perlahan ke balai berlepas. Setapak demi setapak. Melangkah ke bumi asing, untuk memulakan hidup baru.

‘Awak jaga bibir, Farah..’ bisik hati kecilnya dengan harapan yang menggunung. Entah Farah mendengarnya atau tidak, Toha tidak tahu. Yang dia tahu, hanya hati yang bisa berbicara dengan hati.

0 ulasan: