BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

06 Februari 2011

Aku pencintaMu..


“Ya Allah, esok di medan tempur, Kau bagilah aku berjumpa dengan musuh yang paling hebat agar dia melawanku dengan sepenuh upaya dan biarlah aku melawannya dengan sedaya upaya. Berikanlah aku kekuatan untuk menewaskannya atas namaMu, ya Allah.. Amin..” Syahmi menyapukan kedua tangannya pada wajahnya yang bersih itu setelah berdoa bersungguh-sungguh. Rakannya, Farol, yang berada di sampingnya turut mengaminkan doa.

“Dah, sekarang kau pulak..” Syahmi menyuruh Farol berdoa pula. Sememangnya dua sahabat baik ini sudah berpakat untuk berdoa bersama dan saling mengaminkan. Maka, Farol mengangkat tangannya dan bermunajat kepada Yang Maha Esa. Mukanya jelas menampakkan kesungguhan.

“Ya Allah, esok di medan tempur, Kau bagilah aku berjumpa dengan musuh yang paling hebat agar dia melawanku dengan sepenuh upaya dan biarlah aku melawannya dengan sedaya upayaku. Biarlah dia mengalahkanku dan membunuhku, ya Allah. Kau biarlah dia mencederakan wajahku agar esok di hari akhirat, apabila Kau bertanyakan tentang keadaan wajahku, aku boleh mengatakan bahawa ianya kecederaan yang kudapat ketika berjuang di jalanMu.. Amin..” Farol bermunajat dengan penuh penghayatan. Tatkala mendengar doa sahabatnya itu, Syahmi terkedu. Hatinya berdesir.

Selepas berdoa, Farol tersenyum lalu berpaling ke arah Syahmi yang berkerut dahinya.

“Kau dah kenapa? Pelik ke doa aku?” soal Farol. Senyuman masih terukir di bibirnya.

“Tak pelik.. em.. Cuma aneh sikit..” spontan Syahmi menjawab. Dia menelan air liurnya.

“Haha.. sama la tu, pandai! Alah, aku cuma tiru doa sahabat dulu sebelum pergi perang. Dah la, jom kita balik kem!” ajak Farol. Bahu sahabatnya itu dirangkul erat. Syahmi mengangguk kecil. Mereka pun melangkah bergerak ke kem Mujahidin. Bulan yang diiringi dengan taburan bintang bagaikan tersenyum menjadi saksi akan doa dua sahabat tersebut.

Syahmi dapat melihat jelas ketenangan yang terpancar dari air muka Farol yang sedang lena diulit mimpi. Langsung tiada raut kegelisahan mahupun kegusaran. Begitu juga keadaannya beberapa puluh lelaki yang berada di kem tersebut. Masing-masing kelihatan bersedia menghadapi hari esok. Syahmi melontarkan pandangan matanya ke arah luar kem. Bulan dilihat begitu bermurah hati memancarkan sinarnya ke atas kubu kuat tentera Israel yang terletak beberapa batu dari kem Mujahidin. Itu sasaran yang akan digempur oleh tentera Mujahidin esok fajar. Tangannya menggenggam erat raifal M-16 di sisinya.

Syahmi kembali menyelak langsir memorinya. Segalanya bermula 9 bulan lepas apabila presiden Mesir, Hosni Mubarak, mengundurkan diri ketika pilihan raya umum pada September 2011. Dan gerakan Ikhwanul Muslimin yang berjaya mendapat undi daripada hampir seluruh rakyat Mesir lalu berjaya menguasai tampuk pemerintahan Mesir. Oleh yang demikian, tanpa berlengah, pemerintah Mesir telah membuka laluan ke Palestin yang selama ini disekat kepada sesiapa yang ingin membantu Palestin dari segi tenaga mahupun ekonomi.

Serta-merta, sahutan jihad itu disambut oleh segenap masyarakat islam sedunia. Hampir separuh daripada lelaki islam dari seluruh dunia yang hatinya terpahat kalimat syahadah berduyun-duyun ke Palestin untuk membantu perjuangan saudara-saudara seislam di sana. Di Malaysia, proses untuk ke medan syahid itu diuruskan oleh sebuah gerakan yang bernama Mujahidin Muslimin yang berpusat di Bangi, Selangor. Pendaftaran pertama berjaya mengumpul hampir 10 ribu orang yang sedia berkorban demi agama. Kesemua tersebut didedahkan dengan latihan dan senjata selama dua minggu sebelum diterbangkan ke Mesir. Syahmi mengikuti kumpulan kedua ke sini manakala Farol berjaya mendaftarkan namanya dalam kumpulan satu Mujahidin Muslimin. Segala belanja senjata, bekalan dan kenderaan penggempur ditanggung oleh beberapa tokoh korporat islam yang murah hati.

Dan esok, segalanya akan bermula. Tujuan hidup kian jelas. Jihad merupakan tanggungjawab utama. Esok, mereka akan menggempur kubu kuat tentera Israel di sempadan Rafah dari tiga penjuru. Skuad Saif 1 akan menyerang dari hadapan manakala Saif 2 dan Saif 3 akan menyusup dari sayap kanan dan kiri. Malah, kumpulan Mujahidin Muslimin akan turut dibantu oleh jet-jet pejuang dari orang-orang islam China yang akan meledak peluru berpandu dari belakang.

_____________________________________________________


BOOMM!!! Sebiji roket mini meletup beberapa belas kaki dari Syahmi. Telinganya bagaikan pekak buat seketika. Meskipun jaraknya letupan tersebut jauh, namun letusannya seperti berada bersebelahan Syahmi sahaja. Farol yang berada berhampiran dengan sahabatnya turut berkeadaan yang sama. Dia sempat melihat beberapa tubuh tentera Muslimin melayang akibat terkena letupan tersebut. Ada yang syahid serta-merta. Tidak kurang juga yang cedera parah. Suasana di medan tempur itu hiruk pikuk. Peluru dan bom bagaikan hujan yang mencurah. Tompokan darah berada di semua tempat. Bunyi raungan dan tempikan sekali-sekala kedenganran.

Beberapa orang dari Saif 2 termasuk Syahmi dan Farol sendiri meluru masuk ke dalam sebuah bangunan tiga tingkat yang kosong untuk berlindung dari hujan peluru dan bom. Syahmi termegah-megah. Dalam kepenatan, dia bersyukur kerana peluru-pelurunya berjaya menembusi tubuh beberapa orang musuh. Kemudian, Sarjan Zaman, ketua Saif 2, mengarahkan lima orang tentera untuk memeriksa ruang hadapan bangunan tersebut bagi tujuan keselamatan. Ketika sedang menghayunkan kaki untuk mara, bunyi tembakan bertubi-tubi kedengaran dari bangunan di depan. Dua laras Minigun M134 sedang memuntahkan pelurunya selaju 6000 butir peluru seminit sejauh satu kilometer. Pelurunya menebuk tubuh lima orang tentera tadi. Mereka rebah serta-merta.

Sepantas kilat, Syahmi meluru ke arah mereka yang gugur tadi. Rasa takut disingkirkan jauh-jauh. Apa yang dia tahu, mereka perlu diselamatkan. Dalam masa yang sama, lima belas orang tentera Israel menyerbu bangunan tersebut bersama raifal TAR-21 dalam genggaman yang dihalakan ke hadapan. Sasarannya, kumpulan Saif 2!

“Syahmi! Ada musuh kat depan!” teriak Farol. Mendengarkan teriakan Farol, Syahmi melontarkan pandangannya ke hadapan. Seorang tentera Israel sedang membidik ke arahnya. Sejurus, Syahmi berguling ke tepi lalu berlindung di belakang dinding untuk mengelak dari ditembak. Dinding di belakang di mana Syahmi berada hancur bersepai akibat ditembak. Peluru mula menerjah sasaran masing-masing.

Sarjan Zaman melaungkan takbir seraya melepaskan tembakan ke arah musuh. Tindakannya itu diikuti oleh kesemua anak buahnya di situ. Laungan takbir bergema bersama bunyi tembakan yang tidak henti. Syahmi turut curi-curi tembak dari tempat perlindungannya. Beberapa tubuh musuh tumbang. Di saat itu, dia terlihat Farol yang mara perlahan-lahan ke arah musuh yang bersembunyi. Berlindung sambil menembak.

Tatkala Farol menyusup ke sebuah bilik, seorang tentera musuh melayangkan tendangan tepat menuju ke kepada Farol. Farol mengangkat tangannya menahan. Raifalnya terlepas. Dahinya berkerut menahan sakit. Lantas, tentera yahudi itu menunduk lalu cuba melibas kaki Farol. Farol sempat melompat kemudian menendang musuhnya itu beberapa kali. Tendangan itu sempat ditepis lawannya tetapi kekuatan kaki Farol membuatkan tentera Israel itu terundur ke belakang.

Lawan Farol itu membengiskan wajahnya lalu melompat, mengambil raifal M-16 Farol yang berada di lantai. Farol tergamam! Musuhnya itu kemudiannya melepaskan tiga das tembakan. Tepat pada betis, dada dan muka Farol. Farol rebah ke lantai, memegang pipi kirinya yang kini berlubang, berlumuran darah. Sakit lagi perit. Farol mula putus nafas.

Tentera Israel itu ketawa berdekah-dekah seraya meludah ke lantai. Matanya dibeliakkan. Raifal dalam genggamannya itu disasarkan pada dahi Farol. Jari telunjuknya sudah bermain-main di picu. Tiba-tiba, muncul Syahmi menerkam tentera Israel tersebut. Mukanya ditumbuk bertubi-tubi. Musuhnya itu bangkit melawan. Maka, berlaku pergelutan yang ganas antara mereka berdua. Masing-masing saling membalas serangan. Ianya berakhir apabila Syahmi berjaya menjerut lawannya itu sehingga mati. Sejurus selepas itu, dia meluru ke arah sahabatnya yang semakin lemah itu.

Farol diletakkan di atas ribanya. Darah mengalir laju dari luka tembakannya. Syahmi menelan air liurnya. Ngeri melihat luka di pipi Farol. Walaupun begitu, Syahmi terpana tatkala melihat Farol mengukir senyuman.

“Apa dia?” tanya Syahmi yang kehairanan. Dahinya berkerut. Perlahan-lahan, Farol mengangkat tangannya dan menunjukkan jari telunjuknya ke hadapan. Syahmi berpaling ke arah yang ditunjukkan oleh Farol tetapi tidak melihat apa-apa melainkan lorong kosong yang bersepah dengan sampah. Syahmi semakin dilanda kehairanan.

“Alangkah baiknya..” bisik Farol perlahan sambil batuk darah beberapa kali.

“Ngucap, Farol..” ucap Syahmi. Jantungnya semakin kuat menendang dada. Farol tidak menghabiskan ayatnya sebaliknya mengucapkan kalimah azimat.

“Allah..” Farol mengucapkan nama Tuhan yang memiliki seluruh isi langit dan bumi lalu menghirup nafas dalam-dalam. Setelah beberapa saat, tentera Mujahid Muslimin itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Maka, berpisahlah roh daripada jasadnya. Farol gugur sebagai syuhada, berjuang untk mengakkan agama Allah. Namanya sudah dicatatkan oleh para malaikat sebagai pejuang yang mati syahid. Rasa sebak mula menebak di dada. Titisan jernih gugur perlahan di pipi Syahmi, menangisi pemergian sahabatnya itu. Tragedi itu sangat meruntun perasaannya.

Tiba-tiba, sarjan Zaman menyusup masuk ke dalam bilik di mana Syahmi dan Farol berada. Melihatkan jasad Farol yang sudah kaku itu, dia menghembuskan nafas berat. Sarjan memegang bahu Syahmi yang berdukacita dengan kematian Farol.

“Syahmi, skuad Saif 1 mengarahkan agar kita berundur dulu..” ucap sarjan Zaman. Matanya meliar-liar melihat keadaan sekeliling. Bunyi letupan dan tembakan tidak pernah kendur. Syahmi mengangguk perlahan bangkit tetapi sarjan Zaman tiba-tiba menolaknya ke bawah kembali.

“Tunduk!”

Bunyi Minigun kembali bergema. Beberapa butir peluru menembusi bahagian dada dan leher sarjan Zaman. Dinding yang berada di belakang ketua skuad Saif 2 itu turut pecah dan hancur.

“Sarjan!” teriak Syahmi. Sarjan Zaman terlutut lalu rebah ke bumi. Dahinya terhentak pada lantai. Syahmi pantas menyambut tubuh ketuanya itu. Peluh mula memercik di dahinya. Tatkala Syahmi memalingkan muka sarjan Zaman, dia tergamam. Jantung yang semakin kuat menendang dada. Kakinya lemah longlai. Dada siapa yang tidak berdebar apabila melihat kesan hentakan pada dahi sarjan Zaman, tertulis kalimah ‘Alif’ ‘Lam’ ‘Lam’ ‘Ha’..

Subhanallah!

_________________________________________________

Syahmi duduk di atas alas tidurnya berwarna hitam pudar itu. Kedua kakinya dipeluk. Pandangan matanya dilontarkan ke sekeliling kem Mujahidin Muslimin. Jiwanya terasa begitu lemah. Medan perang bukanlah sesuatu yang menyeronokkan seperti di dalam ‘Game Counter Strike’. Setiap kecederaan dan kematian benar-benar dirasakan. Ianya bukanlah untuk tempat untuk orang-orang yang nak berseronok. Syahmi menghembuskan nafas berat. Di hadapannya, berpuluh-puluh tentera yang tercedera semasa bertempur sedang dirawat oleh petugas-petugas khas. Raungan dan rintihan kesakitan kedengaran di sana sini. Darah kini merupakan perkara biasa. Tidak kurang juga yang kehilangan anggota badan akibat terkena letupan. Malah, ramai juga yang mati syahid. Gugur sebagai para syuhada di jalan Allah. Antaranya ialah Farol dan sarjan Zaman.

Selepas solat isyak, ketua seluruh skuad Mujahid Muslimin, komander Zul mengarahkan semua agar berkumpul. Suasana di kem tersebut hingar-bingar. Masing-masing hangat memperkatakan tentang pertempuran di siang tadi dan perancangan untuk pertempuran esok. Ada yang masih bersemangat. Tidak kurang juga yang berasa gerun akan kematian.

“Assalamualaikum..” Suasana di kem Mujahid menjadi sunyi sepi serta-merta. Semua pandangan tentera Mujahid Muslimin tertumpu ke arah komander Zul di hadapan. Berwajah garang. Mata sebelah kirinya buta akibat diseksa teruk ketika ditawan oleh tentera Israel beberapa tahun lepas. Dikatakan bahagian belakang tubuhnya penuh dengan calar dan parut. Namun begitu, jiwa seorang pejuang masih lagi utuh di sanubarinya.

“Saya tahu dan sedar bahawa hampir separuh daripada tentera yang berdiri di hadapan saya sekarang ini ialah kumpulan pertama dan kedua yang datang dari Malaysia. Dan pertempuran siang tadi merupakan pertempuran pertama kamu semua. Saya tak nafikan bahawa ramai dari kalangan kamu berasa gerun dan kecut perut ketika hendak melangkah ke medan perang. Tak kurang juga ada yang berundur awal-awal lagi.” Ucap komander Zul dengan penuh lantang. Ciri-ciri seorang panglima perang jelas terserlah. Para perajurit Allah di hadapannya hanya mengangguk-angguk.

“Bagi yang sudah lama menyertai perang seperti saya sendiri, saya percaya dan yakin akan keberanian dan semangat kamu. Namun bagi yang masih takut-takut dan yang baru terutamanya, ingatlah bahawa Rasulullah pernah bersabda bahawa umatnya di akhir zaman nanti ramai yang berpenyakit Wahan, yakni cinta dunia dan takut mati. Oleh itu, singkirlah perasaan itu jauh-jauh sekarang juga! Lihatlah! Berapa ramai sahabat-sahabat kita telah gugur? Mungkin kita hanya melihat kematian mereka tapi hakikatnya, Allah pasti dan pasti sedang memberikan mereka yang syahid tadi ganjaran dan kenikmatan.

Sesungguhnya janji Allah itu benar. Adakah kamu telah dengar kisah kematian sarjan Zaman dari skuad Saif 2? Ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, terdapat kalimah Allah di dahinya! Begitu juga dengan Farol, skuad Saif 2 yang turut terkorban. Semasa dia rebah, dia melihat ke hadapan dan tersenyum lebar. Terdapat sebuah hadis di mana Rasulullah bersabda bahawa setiap manusia akan dapat melihat ganjaran usahanya ketika nyawanya hampir dicabut. Lihat! Allah tak mungkiri janjiNya! Lihatlah! Ingatkah kamu akan kata-kata Tariq bin Ziyad yang membakar kapalnya ketika nak menawan Sepanyol? Aku pilih antara dua, sama ada menang atau syahid.

Tiada istilah kalah bagi kita, wahai saudaraku! Yang ada hanya menang. Sama ada menang di dunia atau menang di akhirat iaitu syahid. Pilihannya terletak pada kamu sendiri. Pilihlah!”

Semua tentera Mujahid Muslimin bertakbir dengan bersemangat. Kini, mereka bagaikan singa yang kelaparan. Kemenangan itu pasti. Sama ada menawan kembali Palestin atau bertemu dengan Allah. Syahmi yang berada di situ turut bertempik sekuat hati. Esok, Palestin pasti bergegar lagi. Akan digegarkan oleh para pencinta Allah.