13 Februari 2011. Amar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal tatkala melihat tarikh hari ini di kalendar. Kekusutan melanda diri bak tsunami yang menerjah. Dahinya berkerut. Lantas, dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Kedua tangannya diletakkan di atas lutut. Otaknya ligat berfikir.
‘Em.. esok hari Valentine’s.. aku nak bagi apa kat Anith erk….’
Anith Syuhada. Penakhluk hatinya ketika mula-mula mendaftar di Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tatkala kali pertama Amar melihatnya, dirinya bagaikan terpukau. Terasa dalam dirinya mengalir perasaan yang luar biasa aneh. Ganjil tapi indah. Dia terpaku seketika. Seperti terdapat magnet yang menarik tumpuannya ke arah gadis bertubuh genit itu. Rambutnya yang terurai panjang sehingga ke bahu berterbangan tatkala disapa angin lembut.
Amar mengambil telefon bimbitnya lalu menekan butangnya beberapa kali. Menghantar ‘surat cinta moden’ kepada wanita yang diyakini bakal menjadi isterinya.
Hello anith, anith ada plaster x?
Xda la. Knpe?
Amar jatuh ni. Luka teruk.
Hah? Cmna blh jatuh plak ni?
Bla terigt kt Anith, Amar jatuh cinta lg.. <3
Huh, nakal!
Amar tersengih seorang diri ketika membaca mesej terakhir yang dikirimkan oleh Anith. Hatinya berbunga riang. Badannya direbahkan ke atas tilam. Matanya dipejamkan. Senyuman masih lagi meniti di bibirnya. Rasa rindunya merasuk di kalbu. Hidupnya dirasakan begitu indah. Langsir memori kembali diselak.
**************************************************
Gadis anggun di sisinya itu sedang melemparkan pandangannya ke arah pantai. Bayu angin yang lembut terasa menujah tubuh. Daun-daun pokok kelapa seakan-akan melambai. Langit pula redup sekali. Sang mentari umpama menyorok di belakang awan. Seperti ingin menyimpan sinarnya untuk esok hari.
Amar menoleh mukanya ke arah Anith, mendapati gadis berkulit putih itu sedang tersenyum manis ke arahnya. Amar seperti terkena kejutan eletrik. Dia menundukkan pandangannya cepat-cepat. Jantung mula menendang dada. Ah! Perasaan apakah ini?
“Kenapa, Amar?” Anith bersuara lembut.
Amar mula menggelabah. Rasa berdebar mengalir di seluruh tubuh. Perlahan-lahan, dia mengangkat wajahnya menghadap Anith, gadis yang dicintainya seluruh jiwa dan raga. Amar menelan air liurnya sendiri. Lututnya menggigil. Kedua tangannya digenggamkan. Wajahnya cuba di’cover’ agar kelihatan macho di depan Anith.
“Amar tak sihat ke? Nampak lain macam je ni..” gadis itu bersuara lagi. Nada kerisauan jelas kedengaran.
Suara Anith membuatkan tubuh Amar bertambah longlai. Debaran semakin terasa. Amar menguatkan hatinya. Inilah harinya! Kalau bukan hari ni, bila lagi? Dia bersoal jawab dalam hatinya sendiri. Perasaan yang berombak di hatinya begitu kuat sekali menghempas pantai sanubari. Amar mula menyusun kata-katanya.
“Amar sihat je. Cuma Amar tengah risau ni..” ucap Amar perlahan. Suaranya bergetar dan parau.
“Risau kenapa?” tanya Anith. Dahinya mencorakkan kerutan.
“Amar ada tipu orang..” jawabnya ringkas.
“Hah? Siapa?”
“Diri Amar sendiri. Amar tipu bila cakap hidup Amar lengkap tanpa Anith..” ucap Amar penuh perasaan. Dia merenung mata Anith. Seolah-olah menyampaikan bahasa hatinya melalui mata.
Wajah Anith merah padam. Dia memalingkan tubuhnya lalu melangkah perlahan. Seulas senyuman yang menghiasi bibirnya disembunyikan. Amar pula tidak bergerak dari tempatnya. Umpama terpaku di situ, menantikan sebuah jawapan. Berharap tanpa bersuara.
****************************************************
Amar tersenyum sendiri apabila mengimbau kembali peristiwa yang mula ‘menyatukan’ mereka sejak setahun lalu. Kadangkala, dia tergelak seorang-seorang apabila kenangan itu kembali diusik. Sebelum itu, jenuh dia membuat ‘research’ bagaimana hendak memikat hati Anith. Pelbagai rujukan dari buku, internet dan ‘orang yang berpengalaman’ telah dicarinya. Bagi Amar, itulah pertaruhan yang paling besar dalam hidupnya. Andai diterima, ibarat bulan jatuh ke riba. Andai ditolak oleh Anith, panah derita pasti menusuk kalbu. Hatinya pasti berdarah luka.
**********************************************************
Taman Warisan Pertanian Putrajaya menjadi saksi pertemuan dua sejoli ini. Berpegangan tangan, Amar dan Anith menyusuri taman tersebut. Berjalan perlahan, seiring dengan alunan bayu lembut. Langit mendung tanpa matahari memancarkan cahayanya yang terik. Kehijauan flora di Taman Warisan Pertanian membuatkan kedinginan membungkus tubuh. Segalanya bagaikan pelengkap suasana romantis Hari Kekasih buat Amar dan Anith.
Setelah beberapa ketika, mereka duduk di sebuah bangku kayu. Keduanya saling memandang, bagaikan mencurah kasih. Terasa dunia bagaikan hanya milik mereka berdua. Anith membelek-belek sejambak bunga ros biru dan coklat pemberian Amar. Cantik. Pada kad tersebut tertulis bait kata yang indah, bunga yang paling cantik untuk kekasihku yang tercantik..
“Terima kasih, Amar..” ucap Anith sambil tersenyum manis.
Amar menarik perlahan kedua tangan Anith seraya mengucupnya. “Sama-sama kasih..”
“Amar nampak happy je hari ni.. Dapat awek baru ke?” Anith bertanya sambil matanya menjeling manja ke arah jejaka kesayangannya.
“Kenapa kalau Amar dapat awek baru? Anith suka ke?” Amar menduga.
“Amar! Nak kenalah tu..” Anith melatah lalu ringan saja jejarinya mencubit pinggang Amar.
“Aduh!” Amar mengadu sakit tatkala daging di pinggangnya terasa perit dipulas dek tangan si manis kesayangannya. Namun, kesakitan yang dirasai itu tidak lama. Wajah Anith yang cantik dan manja menjadi ubat dan penawar segala kesakitan. Lantas, Amar ketawa berdekah-dekah. Hatinya digeletek rasa lucu melihat muka Anith yang merah padam akibat dilanda badai cemburu.
“Amar ni.. saja nak kenakan Anith tau.. Dah la, Anith nak pergi toilet kejap.” Anith merajuk manja. Amar masih lagi ketawa perlahan terkekek-kekek.
Amar melemparkan pandangannya ke sekeliling kawasan taman. Terdapat beberapa pasangan yang sedang berjalan beriringan, memadu asmara sempena hari yang berbahagia ini. Masing-masing kelihatan sedang mabuk cinta dan ‘angau’. Gurauan mesra dan jelingan manja saling berbalas. Tidak kurang juga beberapa keluarga bersama-sama anak kecil melangkah bersama sambil menikmati keindahan Taman Warisan ini.
Tiba-tiba, Amar dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbit di sisinya. Lantas, dia berpaling dan mendapati telefon bimbit Anith telah tertinggal di atas bangku. Perlahan-lahan, Amar mengambil telefon tersebut. Satu mesej baru telah diterima. Pengirimnya, Abang.
Amar terkesima. Abang? Rasa bingung menyerbu minda Amar sepantas kilat. Dahinya mengukir kerutan. ‘Anith kan anak tunggal, siapa pula abang ni?’ Hati kecil Amar berbicara sendiri. Tangannya pantas membuka mesej tersebut.
Syg, kte nk date pukul brpe mlm nanti? I miss u crazily, darling..
Hampir gugur jantungnya tatkala membaca mesej tersebut. Amar terpana. Dunianya bagaikan gelap ketika itu. Lututnya lemah serta-merta. Jiwanya sakit. Hatinya bagaikan dihiris sembilu. Rasa pedih di kalbu tidak tertahan lagi. Perasaannya bergelojak.
“Amar..” tiba-tiba suara Anith kedengaran perlahan.
Amar berpaling perlahan-lahan lalu menghadap gadis yang memiliki hatinya itu. Apakah kerana dia pemiliknya, dia berhak untuk mengoyakkan hatiku sewenang-wenangnya? Anith terkedu tatkala melihat muka Amar yang merah padam itu. Wajahnya yang penuh cinta kini bertukar menjadi wajah yang penuh dengan kekecewaan.
“Siapa ‘abang’ ni..” soal Amar. Suaranya bergetar. Sebagaimana jiwanya bergetar kerna diamuk duka.
Anith terkedu. Dia lekas-lekas menunduk. Matanya menghadap ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan pencintanya. Nafasnya kencang. Anith membisu seribu bahasa, tidak menjawab soalan ‘maut’ itu. Tiada sepatah perkataan pun yang terpacul dari mulutnya. Perasaannya berkecamuk.
Melihat reaksi Anith, Amar menghembuskan nafas berat. Bagaikan meluah rasa yang berkesumat di hati. Titisan jernih yang mula membanjiri mata ditahan daripada gugur. Perasaannya dihiris pilu. Perlahan-lahan, dia melepaskan jambakan ros biru ke tanah. Bunga ros yang kian mewangi itu kemudiannya dipijak hancur. Sehancur luluh hati Amar ketika itu. Kemudian, dia melangkah pergi, membawa jiwa yang disalut duka.
*********************************************************Sepi dan hening seketika. Fikirannya seolah terhenti. Tak mampu untuk berfikir apa-apa dalam situasi itu. Segalanya seakan telah hancur, tiada apa-apa lagi harapan untuk dirinya. Hancur. Musnah. Segala kepercayaan dan sanjungannya semuanya telah dihempas punah begitu sahaja oleh insan yang selama ini amat dicintainya.
Amar menjenguk ke bawah. Pandangan jarak dari tingkat 10 ke bawah pasti membuat sesiapa yang melihatnya berasa kecut perut. Bangunan syarikat swasta di mana Amar sedang berada, benar-benar tinggi meskipun hanya 10 tingkat. Dari tingkat teratas sekali, dia boleh melihat beberapa kenderaan sedang lalu lalang di jalan besar berhadapan dengan bangunan tersebut. Dari situ, kenderaan-kenderaan serta manusia kelihatan begitu kecil sekali.
Minda Amar kosong dan lopong. Hidupnya kini dirasakan tidak bermakna. Pendorongnya untuk hidup sudah pun pergi. Hatinya kini sudah terpaut dengan insan lain. Sebuah keluhan berat dilepaskan perlahan-lahan. Rasa sakit di hatinya telah menjalar di sekujur tubuh. Derita dan kecewanya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kala ini, air mata darah sekalipun tidak berguna lagi. Dia yakin, inilah jalan penyelesaian yang terbaik. Dengan cara ini, Amar tidak akan lagi diselubungi rasa gundah dan kecewa. Ianya akan dinoktah selamanya.
Amar melangkah perlahan. Setapak sahaja lagi, kemudian dia akan terjun ke bawah. Titik noktah bagi penderitaan yang kian merasuk dirinya. Penamat bagi rasa gundah yang menguasai kalbu. Ia akan berakhir, sekarang juga!
“Assalamualaikum..” tiba-tiba satu suara garau kedengaran dari belakang.
Amar lantas berpaling. Seorang lelaki pertengahan umur sedang berdiri menghadapnya. Di tangan kanannya, terdapat sebatang tongkat buluh yang dipasakkan ke lantai. Di atas poket kiri kemejanya, tertulis sebaris nama. Hanif Mastal. Pada wajahnya, terdapat satu parut yang memanjang dari telinga kirinya sehingga ke hujung bibir. Hodoh dan menyeramkan dalam masa yang sama.
“Kamu nak bunuh diri ya?” soalnya. Air mukanya serius. Rambutnya yang sudah beruban itu bagaikan berombak tatkala disapa angin.
Amar membentak. “Pak cik jangan sesekali cuba halang saya! Ini keputusan hidup saya!”
“Siapa yang nak halang kamu? Nak terjun sangat.. terjunlah! Huh!” ucap Hanif selamba. Mukanya menunjukkan raut tidak kisah akan tindakan Amar itu.
Amar terdiam. Tidak terkata. “Habis, pak cik datang sini ada apa?” jerkah Amar. Hatinya bengang kerana terasa dipermainkan.
“Pak cik datang ni pun nak bunuh diri juga.”
Amar terkejut bukan kepalang. Rasa bingung membanjiri fikiran. “Tapi.. kenapa?”
“Putus cinta..” Hanif melafazkan kata-kata itu perlahan-lahan. Dari air mukanya, terpancar kesedihan yang maha dalam. Hanya penanggungnya sahaja mengerti betapa beratnya rasa sakit yang dialami.
Hampir tergelak Amar tatkala mendengar jawapan Hanif tetapi segera ditahan takut menyinggung perasaan orang tua itu. Hatinya digeletek rasa lucu. Muka berparut macam tu, siapa la yang nak.. Sakit perut Amar menahan ketawanya. Mahu sahaja dia ketawa terbahak-bahak di situ.
“Kamu ingat pak cik main-main ke? Pak cik putus cinta 4 kali sekaligus tau!” Hanif meninggikan suaranya. Berang.
Dahi Amar mengukir kerutan. Dia terdiam. Rasa hairan menerjah diri sepantas kilat. ‘4 kali sekaligus? Macam mana tu? Pak cik ni pasang 4 cawangan ke?’ bisik hati kecil Amar yang dikuasai jutaan persoalan.
“Bulan lepas.. pak cik pergi bercuti dengan keluarga pak cik ke Port Dickson. Masa tu, pak cik rasa betul-betul gembira sebab baru sempat nak habiskan masa dengan keluarga. Sebelum tu, pak cik sibuk sangat dengan kerja. Rasa macam itulah saat yang paling bahagia buat pakcik. Tapi siapa sangka.. saat paling bahagia tu bertukar menjadi saat paling derita. Saat yang paling pedih. Masa dalam perjalanan balik, entah bagaimana sebuah lori telah terbabas sebelum berlanggar dengan kereta kami. Masa tu, pak cik tak ingat apa-apa langsung. Sedar-sedar, pak cik dah terbaring di hospital.. Ketika tulah, pak cik putus cinta..” jelas Hanif panjang lebar seraya menghembuskan nafas berat. Matanya berkaca. Dia merenung ke hadapan bagaikan pandangannya menembusi 7 petala langit, 7 petala bumi.
Amar mendengar dengan penuh khusyuk. Tujuannya datang ke situ dilupakan sebentar bagaikan ditiup angin. Kedua tangannya memeluk tubuh. “Putus cinta dengan siapa, pak cik?” soal Amar. Rasa ingin tahunya meluap-luap.
“Yang pertama, putus cinta dengan ibu pak cik.. yang kedua, putus cinta dengan isteri pakcik yang tercinta… yang ketiga, putus cinta dengan 2 orang anak pak cik..” Air mata yang ditahan-tahan dari tadi akhirnya gugur jua. Perlahan-lahan, berlinangan di pipi Hanif.
“Yang terakhir?” Amar bertanya.
Perlahan-lahan, Hanif menyelak bahagian bawah seluarnya. Dilipatkan. Kemudian, dia menanggalkan kasutnya yang bersambung dengan betis palsu. Menunjukkan kaki kanannya yang hanya tinggal paras lutut.
Hampir pitam Amar tatkala melihat keadaan sebenar kaki Hanif. Mulutnya ternganga. Matanya terbeliak. Rasa terkejutnya bukan kepalang. Peluh mula memercik di dahinya.
“Yang terakhir, pak cik putus cinta dengan kaki pak cik.. Kaki yang dah berkhidmat dengan pak cik hampir 50 tahun. Sangka pak cik, dia akan mengikut pak cik sehingga akhir hayat. Sehingga ke liang lahad. Tapi tak sangka, Allah ambil balik ‘pinjaman’nya begitu cepat sekali..” jelas Hanif perlahan. Dia tidak akan dapat melupakan tragedi yang baru sahaja berlalu sebulan lepas lepas meninggalkan parut yang maha dalam di hatinya dan parut yang kekal di wajahnya. Yang pasti, kedua-dua parut tersebut menebakkan rasa sakit yang bersangatan. Kesakitan di jiwa kerna diamuk rindu. Sakit dan perit.
Amar terkedu. Terasa penderitaan yang dia alami terlalu kecil, terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan apa yang dirasai oleh Hanif. Dia tertunduk malu. Sekurang-kurangnya, Amar masih punya keluarga dan sempurna pancaindera. Berbanding Hanif yang boleh dikatakan kehilangan segalanya. Kehilangan pedoman hidup. Kisah Hanif benar-benar meruntun perasaannya. Rasa sayu menjelma di hati. Rasa sebak mula menikam dada.
“Kamu masih ada ayah dan ibu?” tanya Hanif. Amar hanya mengangguk kecil.
“Ada bawa gambar mereka.?” Hanif bertanya lagi. Amar mengeluarkan dompetnya perlahan-lahan lalu mengambil gambar ibu bapanya untuk ditunjukkan kepada Hanif. Hanif menatap gambar tersebut. Kedua ibu bapa Amar sedang berdiri berdampingan, tersenyum indah. Kebahagiaan jelas terpancar dari air muka mereka. Rasa cinta dan kasih mekar subur di sanubari membenihkan kegembiraan.
“Manis senyuman mereka kan?” soal Hanif. Amar mengangguk lagi. Senyuman itulah yang dilihatnya sejak mula mengenal dunia 20 tahun lalu. Senyuman itulah yang menghiasi rantaian hidupnya. Senyuman itulah yang penah lelah membesarkannya tanpa mengharapkan balasan. Senyuman itulah tanda kasih dan sayang seorang ibu dan seorang bapa yang dicurahkan kepada anaknya. Senyuman itulah yang memujuk lelah dan tangisnya. Ya, itulah senyuman yang paling manis di dunia. Senyuman kedua ibu bapanya.
“Agak-agak kalau kau terjun ke bawah nanti kan, apa akan jadi pada senyuman manis ni?”
Pertanyaan itu bagaikan dentuman kilat yang berdentum di telinga Amar! Hatinya bagaikan terbelah, dirobek di situ juga. Dadanya berombak. Rasa sebaknya tidak tertahan lagi. Lantas, Amar menghamburkan air matanya sepuas-puas. Tidak sedikit pun ditahan. Langsung tidak malu dengan Hanif yang memerhatikannya. Air matanya begitu murah. Dicurahkan tanpa ditahan. Meluahkan segala rasa yang terbuku di hati. Diluahkan dalam bentuk titisan jernih yang mengalir laju di pipinya.
Hanif hanya membiarkan Amar menangis sepuas-puasnya. Dibiarkan segala rasa dicurahkan dalam bentuk tangisan. Esak tangsian yang diselangi rasa pilu. Air mata Amar berjejeran hingga ke dagu. Amar menakup muka dengan kedua tangannya.
“Kamu nak bunuh diri kerana putus cinta?” tanya Hanif tanpa memandang ke arah pemuda itu. Pandangannya dilemparkan ke arah kawasan perbukitan hijau yang terletak tidak jauh dari situ. Dalam tangisan, Amar mengangguk sebagai jawapan.
“Adakah berbaloi untuk mati kerana gadis seperti itu?”
“Saya cintakan dia, pak cik..” ucap Amar dengan suara yang tersedu-sedu.
“Kalau dia cintakan kamu, apakah dia akan buat macam tu?” Hanif memprovok.
Amar tidak menjawab. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dadanya dirasakan seolah-olah berlubang selepas menangis teresak-esak. Segala ukiran rasa telah dizahirkan melalui tangisan sebentar tadi.
“Kamu.. cinta Allah?” tiba-tiba Hanif melontarkan soalan maut itu.
Amar terkedu. Sebagai seorang siswa yang hanya solat jika rajin atau ketika menghampiri musim peperiksaan, dia hanya mampu tertunduk malu. Wajahnya sama merah seperti matanya yang merah akibat menangis. Terasa seakan mahu bersembunyi di balik kerak bumi sahaja.
“Orang selalu kata kan, tak kenal, maka tak cinta. Sebab tu, kita kena kenal Allah dulu. Baru kita boleh cinta Allah. Bagaimana kita nak jadi tenang apabila diuji Allah? Kita perlu kenal Allah. Apabila kita kenal Allah, kita akan tahu sifatNya. Ketika itu, kita akan berfikir? Bukankah Allah itu Maha Pengasih? Pasti ada hikmah Dia uji aku seperti ini. Ujian ni bagaikan ubat dari kekasih. Walaupun pahit, kita kena telan juga sebab kita tahu ada kebaikannya.
Sebab tu, apabila kita diuji, berusahalah untuk mengatasi ujian itu tetapi jangan lupa untuk perhatikan, apakah hikmah ujian ini? Terimalah sebaik-baiknya kerana setiap takdir Allah itu ada hikmahnya walaupun bertentangan dengan kehendak kita. Sesungguhnya apabila orang yang soleh diuji, ujian itulah yang membuatkan mereka makin dekat dengan Allah.
Jangan senang melatah. Ingatlah ibu ayah. Penat-penat mereka besarkan kamu. Senang kamu nak bunuh diri hanya sebab dikecewakan dalam arena percintaan. Berbakti pada mereka, gembirakan mereka dengan kejayaan kamu. Mana tahu dengan berkat usaha kamu gembirakan ibu dan ayah, Allah pilihkan wanita yang lebih baik untuk kamu.” Jelas Hanif panjang lebar. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu anak muda ini mati sia-sia kerana cinta. Mati di usia setahun jagung sedangkan bekalan untuk kehidupan abadi belum disediakan dengan rapi.
Tersedu-sedu Amar menangis tatkala mendengar kata-kata Hanif. Kalimah-kalimah yang diutarakan oleh lelaki pertengahan umur itu begitu ringan sekali untuk masuk ke dalam kalbunya. Perasaannya diulit rasa kesal. Rasa menyesal yang tidak sudah.
“Terima kasih, pak cik, sebab sedarkan saya. Mujur pak cik datang. Kalau tak, mesti saya mati sia-sia hanya sebab kecewa..” ucap Amar perlahan. Hati kecilnya memanjatkan ribuan syukur kepada Allah kerana mengutuskan seseorang untuk menyedarkannya.
“ Allah yang bagi ilham, pak cik cuma perantara je. Dah la tu. Jom kita turun. Dah nak waktu zuhur ni..” Hanif merendah diri. Prinsip yang merantai dirinya dipegang teguh. Allah Maha Kuasa. Makhluk tiada daya. Tanpa izin Allah, tiada apa yang boleh berlaku.
“Tapi tadi pak cik kata nak bunuh diri?” tiba-tiba Amar mengusik.
“Alah.. pak cik tipu je tadi. Kejap lagi kena solat taubat balik.. “ jelas Hanif sambil melontarkan sengih. Amar tergelak.
Kemudian, kedua mereka pun berjalan beriringan menuju je rumah Allah. Masing-masing dengan hati, meyakini bahawa pada takdir Allah itu, tersiratnya hikmah. Hikmah yang kadangkala sukar untuk ditafsirkan dengan fikiran. Hanya manusia yang sempurna ilmu dan iman sahaja dapat mentafsirkan hikmah dalam setiap ujian yang Allah berikan kepada dia.