BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

07 April 2011

Ketidaksempurnaan Insan Bernama Muaz..


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil;”.(Al-Ahzab (33):72)

Alhamdulillah.. Allah masih izinkan aku bernafas walaupun hari-hariku berlalu dengan dosa. Allah masih memberikan aku peluang untuk bertaubat atas noda yang bertitik memenuhi hati. Segala puji hanya berhak bagi Allah.




Beberapa hari lalu, aku telah menjejak pulang ke Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor. Tempat yang bagiku amat istimewa sekali. Penuh dengan kenangan dan nostalgia. Aku kembali ke situ untuk mengambil sijil SPMku serta membantu rakan-rakan dari Darul Quran JAKIM dalam program D'FAST (Dakwah Futuwah Asas Sinergi Tarbiyah). Program yang aku kira cukup bermanfaat sekali andai para peserta SMAKJ benar-benar ingin mempelajari sesuatu dari program tersebut. Bekas pelajar lelaki SMAKJ cuma aku sebagai fasilitator manakala Izzanudin sebagai pengarah program.

Saat menjejak kaki setelah hampir setahun meninggalkan sekolah lama, rasa kagum terbit di hati. Surau dan Dewan Harun Ar-Rasyid sudah dicat baru. Malah, pengetua pun sudah bertukar pengetua baru. Dewan makan pula sudah dibina dinding walaupun pada pendapatku, hanya menyusahkan pelajar.

Namun, tatkala malam menjelma, hati ini diamuk rasa sedih ketika mendengar cerita dari Izzanudin yang telah berbual dengan Ustaz Fuad (ketua warden yang sangat digeruni. Bahkan, abang aku yang juga bekas SMAKJ masih segan dengannya sampai sekarang.) Menurut Ijan (nama pendek Izzanudin), pelajar SMAKJ sudah teruk akhlaknya. Walaupun keputusan PMR merupakan nombor 6 terbaik di Johor tetapi kehebatan itu hanya di kertas semata. Sikap Hormat menghormati bagaikan sudah luput ditelan zaman. Kebersihan sekolah tidak lagi terjaga. Malah, keadaan surau ketika antara maghrib isyak juga lebih bising dari dulu. Ketika waktu subuh, para tahfiz juga tidak ramai yang datang ke surau. Rasa bimbang terpacak di hati.




Pada sabtu malam, aku ambil keputusan untuk memberi nasihat kepada semua pelajar lelaki. Dan ketika itu, aku mendapati hanya beberapa orang pelajar sahaja yang mengerti maksud surah Al-Fatihah. Lantas, aku bertanya, "Habis tu, macam mana kau orang khusyuk dalam solat kalau tak faham maksud Fatihah?"

Ketika itu juga, aku sampaikan kebaikan-kebaikan solat jemaah, ceritakan tentang setiap langkah ke masjid akan dapat pahala dan diampun dosa. Aku turut ingatkan mereka supaya jangan lupa niat iktiqaf dan sentiasa masuk surau dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri. Sebelum pergi meninggalkan SMAKJ, sekali lagi itu aku ingatkan kepada Exco Kerohanian. Semoga apa yang aku sampaikan itu dapat diamalkan.

******************************************

Semalam, aku ke sebuah shopping complex bersama rakan sekuliahku. Setelah berjaya mendapatkan makanan berharga RM3 yang mengenyangkan (iaitu nasi putih dan ayam goreng Carrefour), kami pun menuju ke Arcade (Tempat bermain token). Dan ketika itu, aku terpana saat terlihat B (bukan nama sebenar) yang sama IPG denganku sedang berjalan berduaan bersama seorang gadis yang juga merupakan teman sekuliahnya.

Terasa hatiku bagaikan hendak runtuh di situ juga. Lalu, aku terus melangkah masuk ke Arcade manakala dua merpati sejoli itu menuju ke panggung wayang. Dari kejauhan, aku memandang mereka dengan sayu. Hatiku bagaikan dirobek perlahan. Sejak awal semester 2, B merupakan antara pelajar yang sentiasa solat subuh berjemaah di masjid walaupun dia bukan pelajar jurusan Pendidikan Islam. Dan hati kecilku berharap agar dia boleh membantu untuk bawa rakan-rakan yang lain untuk turut menjaga solat. Namun, sejak beberapa minggu lalu, kulihat dia sudah jarang berada di masjid ketika subuh. Mungkinkah percintaan itu yang menjadi asbabnya? Mungkinkah kini dia terbuai dalam angan-angan yang dibisikkan oleh syaitan dan nafsu? Kekecewaanku tidak dapat dirungkaikan dengan kata-kata.

***********************************************

Di sini, ingin aku tekankan bahawa aku bukanlah seorang yang hanya tahu mencari salah orang. Aku pun manusia biasa. Cuma nabi sahaja yang maksum dan aku bukan nabi. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 110? Kamu ialah sebaik umat diciptakan untuk sekalian manusia, yang menjalankan amar makruf nahi mungkar.

Dan dalam sebuah hadis ada menyebutkan bahawa membenci kemungkaran dalam hati ialah selemah iman. Aku mengaku iman aku terlalu lemah. Tidak terucap sepatah perkataan pun untuk menegur beberapa insan yang kerap melakukan mungkar yang rapat denganku. Terkata betapa marahnya aku kepada diri sendiri. Aku hanya mampu membenci dalam hati dan berdoa andai Allah bangunkanku untuk solat tahajud. Aku sendiri banyak lakukan dosa. Andai aku juga melakukan kesalahan, tegurlah aku dengan bijaksana. Kerana sunnah berdakwah itu dengan berhikmah.

Akhir kata, jagalah solat kerana solat itu akan menjaga kita dari melakukan dosa sebagaimana dalam surah Al-Ankaabut, ayat 45. "Sesungguhnya solat itu mencegah dari fasya' dan mungkar"

Dan nabi juga pernah bersabda, andai sesiapa yang bersolat tetapi solatnya masih tidak mampu mencegahnya dari melakukan dosa, maka terdapat kekurangan di dalam solatnya.

Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki iman dan amal. Wasalam..