Tangan kiri Faim menutup mulutnya yang menguap. Tangan kanannya pula menongkat dahu. Matanya terasa berat sekali. Ibarat dihempap seekor gajah. Sudah beberapa kali dia terlelap di tempatnya yang terletak di belakang sekali di kelas. Entah apa yang diajar oleh pensyarahnya, dia pun tidak tahu. Malah, dia langsung tidak ambil kisah. Setiap butir bicara pensyarahnya itu bukannya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, malah, langsung tidak menembusi pendengarannya! Fikirannya menerawang. Terbayang kenikmatan tidur di atas tilamnya yang empuk. Ditambah pula dengan selimut tebal yang dibuat daripada kapas. Huh! Belum tambah lagi dengan kesejukan hujan lebat di musim tengkujuh ni. Perghh! Mantap!
Prapp.. Faim terjaga dari angannya. Semua rakan sekuliah menarik kerusi lalu meninggalkan tempat masing-masing sambil membawa beg dan buku-buku. ‘Eh, kelas dah habis ke?’ Faim kehairanan. Matanya terkebil-kebil. Faim meregangkan kedua tangannya ke atas, menggeliatkan badan sebelum dia meletakkan bukunya ke dalam beg. Kemudian, dia melangkah keluar dari kelas.
“Mengantuknya..” ucapnya sambil menguap sekali lagi. Mulutnya tidak ditutup. Beberapa gadis yang lalu di situ memandangnya dengan pandangan yang jengkel. Faim yang buat-buat tidak nampak terus menghayunkan kakinya pantas. 'Apa aku peduli kau orang fikir apa!’ bentak hatinya. Sekarang hanya ada satu perkara sahaja yang berlegar-legar di mindanya. Destinasinya sekarang, kolej Alpha. Tujuannya sebentar nanti, tidur!
***********
Begnya diletakkan di atas almari. Faim melabuhkan punggungnya ke atas katil. Tangan kanannya merayap di atas kepala, menggaru-garu kepalanya yang gatal.
“Hmm.. Tadi kat kuliah bukan main ngantuk, sampai bilik hilang pula ngantuknya.. Hish!” Marah Faim pada dirinya sendiri. Pandangannya dilontarkan ke segenap ruang biliknya. Sepantas mana matanya bergerak memerhatikan biliknya yang dihias ringkas itu, sepantas itu mindanya ligat berfikir, apa yang hendak dilakukannya sekarang. Beberapa minit kemudian, dia bangun lalu mencapai begnya. Sebuah komputer riba berwarna hitam ditarik keluar dari beg tersebut sebelum diletakkan di atas meja belajar.
Jari-jemarinya yang pantas menaip papan kekunci bagaikan menari-nari. Kedua matanya begitu fokus menghadap skrin komputer tanpa dikerdipkan untuk seketika. Bibirnya diketap.
“Ha! Jumpa pun!” teriak Faim seorang diri. Sesekali, dia tersengih. Tangan kanannya begitu lincah sekali menggerakkan tetikusnya ke pelbagai arah. Di skrin komputernya kini, terpampang sebuah laman sesawang pornografi.
Faim merapatkan wajahnya skrin computer itu lalu mengecilkan matanya. Dahinya mengukir kerutan. Sebuah iklan yang dihiasi dengan beberapa imej wanita dalam keadaan yang mengaibkan dibacanya.
“Daftar sebagai ahli 5 tahun dan anda akan terima koleksi video-video dan gambar-gambar yang terpanas dari laman ini setiap minggu. Bayaran hanya RM200!” Faim membesarkan kedua matanya. Mulutnya ternganga besar bagaikan sebuah gua. Rasa teruja merenjat dirinya.
“Wow! Terbaiklah!” laung Faim dengan suaranya kuat. Jarinya pantas bergerak, memenuhkan boring keahlian laman tersebut. Sesekali, dia menjilat lidahnya.
*************
Di kafetaria, Ariz bersama dua orang rakannya yang sedang menjamu selera mengerutkan dahi tatkala melihat ragam Faim yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Rasa hairan melanda diri.
“Hei bro, sengih memanjang je ni. Apa cerita?” Ariz menyoal Faim. Air Milo ais yang berada di tangan kanan disedut menggunakan straw.
“Heh! Apa cerita kau tanya? Aku ada barang baik punya tahu!” Faim menjawab dengan semangat setelah duduk di atas bangku. Ibu jari kanannya diangkat ke atas. Sekilas, dia memandang ke kiri dan ke kanan, memerhatikan suasana sekeliling kafetaria yang sederhana luas. Ternyata, hanya sedikit sahaja pelajar yang berada di situ. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
“Barang baik apa? Kongsi la, bro!” gesa kawannya yang berada di sebelah. Kedua keningnya diangkat ke atas.
“Kejap ye..” Faim menyeluk poket seluarnya yang berwarna hitam lalu mengeluarkan telefon bimbit. Beberapa butang ditekan pantas sebelum telefon itu diserahkan kepada Ariz. “Tengok la puas-puas.”
Ariz merenung lama klip yang sedang dimainkan di telefon bimbit Faim. Nafasnya naik turun. Bibirnya diketap. Geram. Matanya langsung tidak berkerdip. Lidahnya bagaikan terkunci untuk berkata-kata. Nafsunya terpacu.
Setelah beberapa minit, Ariz menyerahkan telefon bimbit tersebut kepada rakannya yang lain seraya memandang Faim. “Perrhh.. Memang terbaiklah, bro! Mantap gila!” ucap Ariz sambil tangan kanannya menghentak meja. “Mana kau dapat barang tu? Aku pun nak juga.” Pinta Ariz lagi. Air mukanya mencerminkan kesungguhannya yang jitu.
Faim tersenyum bangga. “Aku langgan dari internet tahu. Jadi ahli selama 5 tahun, bayaran dia RM200 je! Murah kan?” tanya Faim. Rakan-rakannya hanya mengangguk-angguk
“Bila dah langgan nanti, mereka hantar benda-benda tu semua kat emel aku setiap minggu. Lepas dah dapat tu, aku upload kat telefon aku.” Sambung Faim lagi. Bibirnya mengorak senyuman.
“Weh,tunjukkan aku website tu. Aku pun nak jugak.” Pinta Ariz dengan nada memujuk.
“Aku pun sama. Setakat RM200 aku pun boleh bayar.” Sahut seorang lagi rakannya.
Faim menggelengkan kepala cepat-cepat. “Eh.. tak payah la. Biar aku tolong kau orang simpan duit. Duit tu buat belanja aku makan lagi bagus! Haha..” Gurau Faim.
Ariz mengerutkan dahinya. “Habis tu, macam mana kita orang nak dapat benda-benda ni?”
“Kau orang tuliskan la emel masing-masing. Nanti bila aku dah dapat emel dari website tu, aku terus forward kat kau orang. Apa macam? Ada baik ka?” Cadang Faim.
“Terbaik!!!” Cadangan itu disahut serentak oleh rakan-rakannya di kafetaria.
**************
Faim tersengih tatkala mendapati terdapat emel baru di inbox akaun emelnya. Ternyata, emel itu mengandungi koleksi video-video lucah yang dihantar dari laman pornografi yang dilangganinya. Bagi Faim, bayaran RM200 apalah sangat kalau hendak dibandingkan dengan kepuasan menonton video-video tersebut. Baginya, itu merupakan pelaburan yang cukup berbaloi.
Setelah itu, Faim menukarkan setting emelnya kepada auto forward supaya setiap kali dia mendapat emel tersebut, isi kandungannya akan dihantar kepada akaun emel rakan-rakannya secara automatik. Maka, tidak perlulah dia menghantar sendiri emel tersebut secara manual. Menyusahkan sahaja.
Semakin hari, semakin ramai yang memberikan emel mereka kepada Faim, dengan harapan akan mendapat video-video ‘panas’ tersebut setiap minggu. Malah, Faim dengan senang hati akan memasukkan emel-emel yang baru diterima itu dalam senarai penerima. Jumlahnya semakin meningkat. Dari dahulunya hanya 4 orang, sekarang sudah mencecah 30 orang. Namun, bagi Faim, apa salah berkongsi? Setiap kali mendapat emel yang terbaru, isi kandungan emel itu akan menjadi topik perbualan mereka. Pasti dan pasti mereka akan menbincangkannya dengan rancak. Dan, orang yang paling gembira sekali dengan keadaan ini ialah.. Faim.
*******************
Faim yang baru sahaja keluar dari panggung wayang syarikat tempatan menapak ke arah parkir motorsikal. Sekilas, dia melontarkan pandangannya ke luar kompleks membeli belah itu. ‘Alahai.. Hujan la pula bila nak balik kolej ni. Redah je la, bukannya lebat sangat pun. Renyai-renyai je.’ Faim bermonolog dengan dirinya sendiri.
Setibanya di tempat parkir, Faim menunduk ke bawah membuka kunci motorsikalnya. Kemudian, motorsikal Modenas CT 110 berwarna merah itu digilap beberapa kali, membersihkannya dari habuk sebelum dihidupkan. Bunyi deruman enjinnya bergema di ruang parkir yang sunyi itu.
Faim memecut meninggalkan kompleks membeli belah itu, membelah hujan yang mulai lebat sedikit demi sedikit. Sesekali, kedengaran bunyi guruh yang bergema di ruang angkasa. Membingitkan telinga sesetengah pengguna jalan raya. Ternyata, jalan-jalan utama ibu kota dibanjiri kenderaan-kenderaan yang bergerak pulang setelah jam lima.
Motorsikalnya ditunggang di lorong kanan sekali, memecut meninggalkan kebanyakan kenderaan besar yang bergerak perlahan. Minda Faim menerawang, mengingatkan kembali filem ‘Real Steel’ yang ditontonnya sebentar tadi. Di atas motorsikal, dia tersenyum sendirian. ‘Tak sangka cerita macam tu pun dia boleh suntik elemen kekeluargaan’, Faim mengomel dalam hati.
Tiba-tiba, sebuah kereta membelok masuk ke lorong kanan di hadapan Faim tanpa memberikan isyarat. Faim tergamam, menekan breknya dengan mengejut. Namun, jalan tar yang licin membuatkan motorsikalnya menggelongsor lalu bergoyang-goyang.
Faim hilang kawalan. Entah bagaimana, motorsikalnya termasuk ke lorong bertentangan. Brek tangannya ditarik cepat-cepat, menyebabkan tayar hadapannya berhenti secara mendadak. Faim jatuh terseret ke hadapan. Dia menjerit kesakitan.
Ketika cuba bangun, matanya silau kerana terkena cahaya secara langsung. Faim yang baru sahaja mengangkat muka terpaku. Bagaikan tidak boleh bergerak. Sepasang lampu bergerak laju menghampirinya. Semakin dekat dan semakin dekat. Bunyi hon bergema!
***************
Jenazah Faim disambut dengan penuh tertib sebelum diletakkan perlahan-lahan oleh beberapa orang lelaki yang sudah bersedia di liang lahad. Jenazah dihadapkan ke arah kiblat. Upacara pengebumian kian menghampiri penamatnya. Jenazah ditatap untuk detik-detik pengakhiran.
Perlahan-lahan, tanah mula ditimbuskan untuk menguburi liang lahad. Ariz memandang dengan penuh kesayuan. Angin yang berderu menambahkan lagi kehibaan. Sedikit demi sedikit, jenazah Faim tidak lagi kelihatan, ditimbus oleh tanah. Asal usul ciptaan manusia. Daripada tanah manusia diciptakan, di dalam tanah jua destinasi terakhir manusia. Maka, tamatlah perjalanan seorang lagi makhluk ciptaan Allah yang bernama manusia.
Ariz menghembuskan nafas berat tatkala tragedi itu menyanggah kembali memorinya. Tidak sangka Faim akan pergi terlalu cepat. Bagaikan baru semalam mereka bergelak ketawa bersama. Tangan kanan menongkat dahinya. Sebuah nafas yang berat dihembuskan sekali lagi. Perlahan-lahan, tangan kirinya menaip papan kekunci komputer miliknya. Dan..
Ariz tergamam. Faim baru sahaja menghantar emel yang mengandungi video-video porno kepadanya. ‘Mana mungkin! Faim sudah meninggal dunia. Baru semalam aku tengok dia dikebumikan.’ Jerit hatinya. Ariz menelan air liur sendiri. Nafasnya naik turun.
Beberapa saat kemudian, dia menggelengkan kepala sebelum tertawa kecil sendirian. “Mengarut je. Mungkin emel ni aku tak perasan agaknya. Bukannya emel baru.” Bisiknya lagi. Lantas, dia cepat-cepat membuang emel tersebut. Entah kenapa agaknya. Sedangkan selalunya emel itulah yang ditunggu-tunggu setiap detik dan saat.
Minggu berikutnya, Ariz membuka akaun emelnya lagi dan.. Dia terpana. Wajahnya pucat. Bagaikan tidak percaya. Kedua tangannya terketar-ketar. “Macam mana aku boleh dapat emel benda ni lagi? Kan Faim dah tiada?” Minda Ariz bagaikan dihempaskan ombak kehairanan. Dia terdiam.
‘Ni mesti Faim dah setting auto forward kat emel dia..’ Gumam Ariz lagi. Lantas, dia menghubungi laman pornografi yang dilanggani oleh Faim.
“Saya minta tolong hentikan langganan bahan-bahan lucah milik Faim. Orangnya sudah meninggal dunia.” Rayu Ariz. Suaranya sedikit mendesak.
“Awak ada password akaunnya?” balas mereka.
“Err.. mana saya tahu?!” Ariz meninggikan suaranya.
“Kalau begitu, keahliannya masih lagi ada 4 tahun setengah. Berseronoklah.” Talian diputuskan.
****************
“Begitulah keadaannya ustaz. Dah 2 tahun Faim meninggal dunia tapi masih lagi, setiap minggu, emel tersebut masih dihantar kepada saya dan 30 kawannya yang lain.” Jelas Ariz kepada Ustaz Hanif. Suaranya sayu. Bernada kesal. Kedua tangannya mencengkam kepala. Tekanan membelenggunya setiap kali memikirkan soal emel dari Faim.
“Kamu nak tahu sesuatu?” tanya Ustaz Hanif.
“Apa dia, ustaz?” jawab Ariz lekas-lekas.
“Allah ada berfirman - Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan ingatlah tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab yang jelas nyata.” Ustaz Hanif membacakannya maksud ayat ke 12, surah Yasin.
“Itulah janji Allah. Setiap yang kita buat, baik atau buruk, semuanya Allah catat, semuanya Allah tahu. Bukan itu sahaja, perkara-perkara yang kita sebarkan di muka bumi ni, selagi ianya tersebar, juga akan dikira oleh Allah walaupun kita sudah mati.” Jelas Ustaz Hanifnya dengan tenang. Suaranya sedikit bergetar.
“Apa maksudnya?” Ariz ingin tahu.
“Maksudnya, kalau kita sebarkan benda baik, contohnya, kita ajarkan kawan kita mengutip sampah di jalanan. Maka, setiap kali dia mengutip sampah, kita akan dapat pahala walaupun ketika itu kita sudah tiada. Macam tu juga kalau kita sebarkan perkara buruk. Walaupun kita dah mati, tapi orang amalkan perkara yang tak baik yang kita ajar, orang sebarkan perkara tu, kita tetap akan mendapat dosa.”
“Walaupun kita dah mati?” soal Ariz. Dahinya berkerut.
“Walaupun kita sudah mati..”
Tubuh Ariz bergetar. Begitunya dengan nafasnya. Matanya kian merah.
“Maksudnya, selama 5 tahun ni, setiap kali 30 orang tu membuka emel Faim tu setiap minggu, dia tetap akan dapat dosa walaupun dia sudah mati?” tanya Ariz lagi. Wajahnya pucat. Matanya menunjukkan kesedihan yang maha dalam.
Dengan berat hati, ustaz Hanif menjawab “Ya..”
Ariz menundukkan wajahnya. Air matanya yang selama ini bertakung akhirnya tumpah jua. Dia tidak peduli lagi akan ustaz Hanif yang berada di hadapannya. Air matanya dihamburkan puas-puas. Dia menangis teresak-esak. Kedua tangannya menangkup muka. Ustaz Hanif hanya mampu mengusap belakang tubuh Ariz. Simpati.
Bayangan wajah Faim menyerlah di mata fikiran. Tidak terbayang bagaimana keadaan sahabatnya itu di ‘sana’. Dahinya menyentuh sejadah. Bersujud menghadap kiblat. Rembesan air matanya semakin hebat mengalir. Dalam sujud itu, dia melafazkan istighfar seluhur jiwa.. serendah-rendah rasa dalam jiwa terhadap Maha Pencipta yang Agung dan Maha Penerima Taubat. Lidahnya berulang-ulang melafazkan istighfar dengan khusyuk. Air matanya menjadi saksi banyak waktu dalam hidupnya dilalui dengan sia-sia.
“Ya Allah.. ampunkan aku..” rayu Ariz bersungguh. Air matanya membasahi sejadah. Terasa dirinya begitu kerdil dan hina. Rasa takut dan kesal menjalar ke seluruh tubuh. Ustaz Hanif yang berada di situ turut menitiskan air matanya terharu. Titisan jernih yang mengalir di pipinya diseka. Dadanya sebak.
Setelah beberapa ketika, tangisan Ariz perlahan-lahan senyap. Tidak bergerak-gerak lagi. Ustaz Hanif mendekati Ariz yang masih lagi sujud di bahagian depan surau.
“Ariz..” panggil Ustaz Hanif. Panggilannya tidak dijawab. Ustaz Hanif menyentuh bahu kiri Ariz, menyebabkan pemuda itu rebah, mengiring ke kanan. Kesan air mata masih jelas lagi di mukanya. Ustaz Hanif tergamam.
Pemuda itu dirapatinya lalu digoyang-goyangkan. Masih lagi tiada respon.
Ustaz Hanif meletakkan tangan kanannya di urat leher seketika, sebelum menghembuskan nafas yang berat.
“Innalillah wa Inna illahi raajiun.. Kami milikNya dan kepadaNya kami kembali.." Ustaz Hanif melafazkannya. Anak muda itu tidak bernyawa lagi. Menghadap Allah dalam keadaan bersujud kepadaNya. Dalam keadaan menyesal akan segala dosanya. Terbit perasaan cemburu dalam hati Ustaz Hanif. ‘Budak ni sepanjang hidupnya bergelumang dengan dosa.. Tapi Allah pilih dia untuk mati dalam rumah Allah.. Dalam keadaan sujud. Dalam keadaan bertaubat.. Tak mustahil aku yang selama ini mengajar agama di surau boleh jadi sebaliknya.. Astaghfirullah..’ bisik hati kecil Ustaz Hanif. Air matanya tumpah lagi.
- TAMAT -
Muaz (Pemilik Blog): Alhamdulillah.. Selesai akhirnya cerpen ini setelah 3 hari menulisnya. Saya harap penulisan saya tidak mengecewakan para pembaca kerana dah terlalu lama saya berehat dalam bidang penulisan. Kali terakhir saya menulis rasanya pada bulan 7 yang lepas. Terus terang saya akui, sebenarnya cerpen ini ditulis berdasarkan sebuah kisah benar yang berlaku di luar negara. Kisah tersebut saya ubah suai dan tokok tambah dengan berhati-hati supaya mesejnya dapat disampaikan. Moga-moga ianya bermanfaat untuk semua. Jangan lupa untuk sebarkan kebaikan dan janganlah sebarkan keburukan.
InsyaAllah.. sekarang ini saya sedang usahakan untuk menulis sebuah novel bergenre Fantasi. Seperti biasa, saya akan cuba suntik elemen-elemen dakwah mengikut kesesuaian. Doa anda semua saya amat harapkan. Semoga kita semua mendapat Husnul Khatimah/ Pengakhiran yang baik sebagaimana Ariz di dalam cerpen di atas. Sekian, assalamualaikum. Barakallah lakuma.