BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

05 Mac 2012

Prolog

Di jendela langit, kelihatan sang bulan sedang asyik menyimbahkan cahayanya kepada bumi. Hadirnya seorang diri, tanpa dipagari gugusan bintang nan indah. Angin yang dingin bergerak perlahan, menyapa pepohon tinggi, membuatkan dedaun menari-nari bagaikan mengikut alunannya. Tatkala dinginnya angin itu menujah tubuh, Amar segera menyelubung tubuhnya menggunakan mantel di bahagian belakangnya. Sejuknya terasa mencengkam sehingga ke tulang-belulang.

Pahlawan muda itu meneruskan aktivitinya biarpun dirinya diselimuti kesejukan. Setelah pedang selesai diasah, dia meletakkan senjata kesayangannya itu di atas tangan kirinya. Matanya menyoroti bilah pedang tersebut perlahan-lahan. Terlihat bayangan wajahnya pada pedangnya yang berkilat itu. Rambut panjang yang melepasi kening dibiarkan sahaja. Pandangannya melekat pada senjata pembunuh miliknya. Fikirannya jauh menerawang. Terbang melayang tanpa diketahui arah tujunya.

Kesunyian malam itu tiba-tiba diganggu oleh satu bunyi letusan kecil. Mendengarkan bunyi tersebut, Amar mendengus. Kepalanya digelengkan.

“Kenapa kau datang ke mari?” Amar bersuara. Suaranya bernada tegas.

“Perjuangan ini seharusnya kita tempuhi bersama. Tak perlu kau laluinya seorang diri.” Jawab wanita yang muncul di belakangnya sebentar tadi.

Amar hanya membisu. Pedangnya dimasukkan ke dalam sarung dengan cermat. Dia bangkit lalu mengikat pedang bersarung itu di pinggangnya. Ikatannya diketatkan agar tidak tercabut ketika di medan pertempuran nanti. Pertempuran? Dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dihadapinya nanti.

“Amar! Sombongmu itu nanti hanya akan memakan diri! Mungkin dahulu kau mampu menewaskan Feroz tapi kini, tidak lagi. Dengan Rantai Hitam sudah menjadi miliknya, kemenangan itu bagaikan mustahil.” Wanita itu meninggikan suara. Hatinya terbit perasaan risau.

“Lara.. Tak terlintas di hati untuk bersikap sombong. Aku cuma terfikir, andai aku terkorban, kepada siapakah dunia Gaia hendak bergantung? Siapakah lagi yang boleh kita harapkan? Nafis terkorban angkara Feroz! Dia mesti dihalang sebelum sesuatu yang lebih buruk terjadi!” Amar bertegas. Matanya bagaikan berapi.

Lara menghembuskan nafas berat. Pandangannya dilontarkan menghadap tanah. Tangan kirinya digenggam erat. Tubuhnya bergetaran.

“Tidakkah kau berasa takut, Amar?” Suara lembut itu memecah kesunyian setelah beberapa ketika.

Amar merenung jendela langit. Kedamaian malam itu tidak mampu mendamaikan gelojak hatinya.

“Berani itu bukanlah melakukan perkara yang kita takut, tetapi menguasai ketakutan kita.” Jawab Amar perlahan. Matanya yang redup dialihkan dari memandang langit.

Mata Lara tidak henti memerhatikan Amar sedang yang leka memakai pelindung pergelangan tangan yang dibuat daripada besi, dihiasi dengan ukiran kuno. Baju besi yang berwarna perak, ditambah pula dengan mantel merah di belakang. Sebuah senyuman terukir di bibir Lara. Amar, seorang pahlawan hebat Gaia sudah bersedia untuk beraksi, sudah bersedia untuk memulakan misinya. Misi menyelamatkan Gaia dari dihempas ombak kegelapan!

Muaz (Pemilik Blog) : Alhamdulillah. Sempat saya menyiapkan prolog novel Kembara Adam ini dalam masa sehari. Maaf, jika kualiti penulisan saya menurun kerana sudah lama tidak mengasah pena. (Walaupun hakikatnya saya menulis dengan menaip. Huhu.. ). Saya sendiri tak pasti bilakah novel ini boleh siap sepenuhnya kerana kepadatan jadual saya sebagai seorang pelajar IPG, seorang fasilitator dan lain2. Mohon doa kalian agar usaha saya ini dipermudahkan kerana ingin saya catatkan di sini bahawa novel Kembara Adam bukanlah sekadar novel aksi fantasi kosong semata-mata tetapi telah saya titipkan pengisian2 yang bermanfaat. Moga2 dapat disiapkan segera dalam keadaan yang bermutu dan diterima oleh mana2 syarikat penerbitan yang sudi menerbitkan novel penulis baru ini InsyaAllah.. >.<