BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

04 Februari 2011

Ikhlaskah kita?

Ikhlas adalah salah satu daripada sifat-sifat mahmudah yang paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan, para malaikat pun tidak tahu. Yang punya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia adalah penentu apakah amalan seseorang itu diterima atau ditolak oleh Allah. Ada para Sahabat bila mendengar tentang ikhlas itu dari Rasulullah SAW mereka menangis.

Mereka merasa tidak selamat. Mereka merasakan tidak mungkin memperolehi sifat ikhlas yang begitu tinggi kedudukan dan nilainya itu. Oleh kerana susahnya untuk mendapatkan sifat ikhlas itu, Islam tidak membenarkan seseorang itu mengaku dia adalah ikhlas. Siapa yang mengaku dia ikhlas kalaupun sebelum itu dia ikhlas, automatik keikhlasannya terbatal. Kalau begitu, salah sekali selama ini yang berlaku di dalam kehidupan kita, seolah-olah telah menjadi budaya apabila seseorang itu memberi, menolong, membantu dengan berkata:
“Ambillah! Saya ikhlas ni!”
“Saya telah tolong dia dengan ikhlas. Kemudian dia memusuhi saya.”
“Saya hendak tolong awak ini dengan ikhlas! Tapi saya sedih, awak menolaknya.”
“Saya ikhlas hendak bagi sebanyak ini, saya bagilah!” Di dalam menulis surat selalu ditutup dengan perkataan, “Saya yang ikhlas.”


Orang yang mengaku ikhlas, ertinya dia mengaku orang yang paling baik. Di dalam ajaran Islam, mengaku baik itu adalah satu kesalahan. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi ternafi keikhlasannya. Tiada yang mengetahui seseorang itu ikhlas sekalipun yang punya diri, walaupun malaikat, melainkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Oleh itu tiada seorang yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusahalah untuk menjadi orang yang ikhlas. Moga-moga kita ikhlas. Setelah kita berbuat demikian moga-moga setiap amal yang kita buat itu diterima oleh Allah SWT.


APA ERTI IKHLAS?
Erti ikhlas itu ialah murni, bersih. Sesuatu benda itu kalau jenisnya sahaja, tidak bercampur jenis lain, dianggap benda itu bersih, murni, tidak dinodai oleh benda-benda lain. Sebagai contoh, kalau air itu semata-mata air, kalau air itu tercampur sabun, nila atau tepung, air itu tidak khalis. Ertinya air itu tidak murni lagi. Tidak mutlak lagi. Tidak bersih, tidak pure kerana tercampur benda lain yang bukan jenisnya. Ertinya air telah ternoda atau dinodai oleh benda yang lain. Atau ia telah diwarnai oleh benda lain.


Begitulah kita beramal, berusaha dan berjuang seperti bersembahyang, puasa, zakat, naik haji, membaca Al Quran, mengajar, berdakwah, memberi, menolong, motivasi, forum, ceramah dan belajar adalah kerana Allah Taala, kerana suruhan-Nya, kerana perintah-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan patuh kepada-Nya. Jadi perkara yang kita buat itu, seperti contoh-contoh di atas kerana-Nya adalah satu, tujuannya satu, didorong oleh satu, iaitu Allah SWT. Demi untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Tidak bercampur dengan kerana-kerana yang lain selain kerana Allah Taala. Itulah yang dikatakan orang yang ikhlas, iaitu dia membuat kerja-kerja tadi kerana-Nya murni. Tujuannya bersih. Dorongan dari satu iaitu Allah SWT.


Jika niat atau dorongannya telah tercampur dengan kerana-kerana lain atau ada terselit niat-niat lain di dalam kerana Allah itu, dorongannya bukan satu lagi tapi sudah menjadi dua atau tiga. Misalnya, niat membuat kerja itu dicampur sama kerana riyak, megah, nama, glamour, pangkat, duit, kerana orang minta, kerana takut orang tidak suka, untuk mental exercise, kerana boring di rumah, kerana hendak lari daripada masalah, kerana ingin sokongan atau undi, kerana hendak menguji kemampuan, kerana hendak berlawan, kerana hadiah, kerana piala, kerana kawan. Maka orang itu sudah tidak khalis lagi di dalam kerja-kerjanya.


Ikhlas sudah tiada, sudah tidak murni, ikhlasnya telah ternoda. Justeru apa yang dibuat itu ‘kerana Allah’nya telah bercampur dengan kerana-kerana yang lain. Oleh itu ‘kerana Allah’nya sudah tidak bersih atau tidak murni lagi, niatnya telah bersekutu. Niatnya telah syirik, iaitu syirik khafi. Di Akhirat nanti Allah meminta orang itu, “Pergilah minta pahala daripada orang yang awak keranakan itu.” Allah Taala tidak akan membalas kebaikan apa-apa kepada orang itu kerana tujuan dia beramal itu tidak kepada Allah lagi atau tidak sepenuhnya kerana Allah Taala tapi ada kerana yang lain selain Allah Taala.


Untuk berlaku ikhlas di dalam sebarang perbuatan kita amat susah sekali. Terutama kerja-kerja dan amalan yang ada hubung kait dengan kepentingan umum atau dengan orang ramai atau amalan yang terdedah kepada pandangan umum seperti ceramah, dakwah, mengajar, belajar, gotong-royong, membaca Al Quran di hadapan khalayak, forum, wawancara, memberi hadiah, memberi bantuan di hadapan umum atau di hadapan orang ramai. Lebih-lebih lagi bagi orang yang jarang memikirkan hati, kurang muhasabah hatinya, hatinya dibiar atau terbiar, jarang diambil tahu atau diambil kira, selalunya lebih banyak terjebak kepada tidak ikhlas. Ramai yang nawaitunya tercampur dengan hal-hal huzuzunnafsi, kepentingan atau tujuan diri sama ada disedari atau tidak disedari kerana kurang menyuluh hati.


Adakalanya amalan itu awal-awal lagi nawaitu atau niatnya telah rosak. Ibarat membuat rumah atau bangunan di atas lumpur maka awal-awal lagi rumah atau bangunan itu runtuh di awalnya lagi. Kalau tidak di awalnya, rosak pula di pertengahan jalan. Kadang-kadang di awal-awal dan di pertengahan jalan masih hatinya kerana Allah, tidak bercampur kerana-kerana yang lain selain Allah Taala, tapi dia terjebak di hujung atau di akhir perbuatannya.
Di sini saya datangkan contoh bagaimana ia boleh terjadi.

a. Niat rosak di awal lagi.
Katalah kita hendak berdakwah di satu tempat pada hari sekian-sekian. Sama ada kita yang membuat program itu, mahupun penduduk tempat itu menjemput kita. Hati kecil kita pun
berkata:
“Ha! Inilah masanya aku akan popular.”
“Aku akan terkenal!”
“Adalah peluang duit poket!”
“Aku akan hentam puak-puak ini yang menjadi musuh aku selama ini.”
“Barulah mereka tahu siapa aku!”
“Padanlah muka mereka nanti!”
Usaha dakwahnya rosak sama sekali! Di awal-awal lagi sudah tidak ada keikhlasannya. Bukan kerana Allah Taala tapi kerana diri kita sendiri atau kerana tujuan menghentam, tapi kita menggunakan hak-hak Allah sebagai alat. Ini ibarat melukis di atas air atau membangunkan rumah di atas lumpur.

b. Rosak di pertengahan.
Bagaimana pula rosak di tengah-tengah atau di dalam perjalanannya. Mula-mula memang dibuat kerana Allah. Hati berkata:
“Aku wajib menyampaikan seruan Allah itu. Lebih-lebih lagi peluang sudah ada atau sudah terbuka.” “Aku mesti mengisi program itu. Aku tidak ada apa-apa keuzuran. Kalau aku tidak mengisi program itu nanti Allah marah. Insya-Allah aku akan pergi berdakwah di tempat itu.”
Waktu sedang menyampaikan dakwah dengan petahnya, dengan bahasa yang indah, dalil-dalil dan hujah-hujah yang fasih, orang ramai pun mengangguk-angguk. Begitu ceria muka mereka mendengarnya dan menerima apa yang kita sampaikan menunjukkan ada respon dari orang ramai.
Hati kita pun berbunga. Syaitan pun menghembus-hembuskan ke dalam hati untuk kita lupa dengan Allah. Kita pun terasa luar biasa. Hati kita pun membisikkan kepada kita:
“Hebat aku ni!”
“Boleh tahan juga aku ini.”
“Payah juga orang lain hendak menandingi aku.”
Di pertengahan dia rosak. Rosak di dalam perjalanan. Keikhlasannya tadi telah diungkaikannya semula. Dia telah berkongsi niat di antara Allah dengan dirinya sendiri, syirik khafi. Ibadahnya atau kebaikannya berdakwah itu telah dibatalkan. Ibarat membuat rumah atau bangunan, sedang membinanya belum pun siap lagi telah diruntuhkan semula.

c. Rosak di hujung.
Di awalnya sebelum berdakwah itu niatnya sudah bagus. Dia hendak berdakwah di tempat dan masa sekian-sekian, tujuannya betul kerana Allah. Dia ingin menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan risalah Tuhan kepada umat. Apabila sampai masanya, berhadapan dengan orang ramai, dia pun menyampaikan dakwahnya. Di waktu itu hatinya masih baik. Belum tergugat lagi. ‘Kerana Allah Taala’nya masih belum terungkai lagi. Tapi dalam perjalanan pulang dari majlis dakwah itu, ada kawan yang sama-sama berada di dalam keretanya pun bercakap:
“Ustaz bercakap tadi sedap betul.”
“Saya tengok orang ramai di majlis itu mengangguk saja tanda memberi respon.”
“Ustaz ni kalau terus-menerus boleh membuat dakwah ini,
ustaz akan lebih lagi lincah dan matang.”
Hatinya terus berbunga. Ujub pun datang. Syaitan membisikkan di dalam hatinya bahawa dia orang yang mampu dan berkebolehan. Dia telah lupa kemampuan itu anugerah dari Allah Taala yang Maha Pengurnia. Patut dia malu kepada Tuhan kerana Allah Taala telah memberi dia berkebolehan di dalam berceramah atau pidato. Maka terbatal pula ibadahnya. Pahala dakwahnya malam itu telah terkorban. Ibarat membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh.

Apa yang di bawa ini adalah sebagai satu contoh. Kita bolehlah kiaskan kepada usaha-usaha dan kerja-kerja yang lain. Apakah usaha dan kerja itu kita buat kerana Allah atau kerana kita seratus peratus atau bercampur kerana Allah dengan kerana kita.

Berdasarkan apa yang di tulis ini, masya-Allah, terasa sungguh oleh kita susahnya untuk menjadi orang yang ikhlas, sedangkan ikhlas itu adalah roh ibadah. Penentu apakah ibadah-ibadah itu tertolak atau diterima. Wahai Tuhan, rasanya kami belum berbuat apa-apa sebelum ini, kalaupun ada berbuat, sudah tentu payah sekali hendak mengelakkan daripada huzuzunnafsi ini. Iaitu ada tujuan kerana diri. Kalaulah bukan bantuan dan pimpinan-Mu Tuhan, rasanya sebarang amalan yang kami buat mungkin tertolak semuanya.

Para pembaca, di sinilah rahsianya mengapa kadang-kadang usaha dan perjuangan kita itu tidak berkesan, walaupun usaha sudah dilakukan, respon orang ramai pun ada, tapi kesannya tiada. Orang ramai tidak juga berubah dari dakwah kita itu. Apa yang diucapkan oleh mulut kita tidak sama di hati. Apa yang dicakapkan oleh mulut kita sudah cantik, tidak ada cacat celanya, tapi cacat di hati. Jadi apa yang diucapkan oleh mulut itu hanya jatuh di mulut orang ramai. Orang ramai memuji-muji kita, mengulas-ulas dan memperpanjang-panjangkan ceramah kita. Namun hati tidak berubah apa-apa kerana di sini terhijab bantuan
daripada Allah Taala disebabkan niat atau hati kita telah rosak oleh mazmumah riyak dan lain-lain lagi. Di waktu itu sifat-sifat taqwa kita sudah ternafi. Allah Taala tidak akan menolong orang yang tidak bertaqwa. Oleh itu marilah kita membuat kerja-kerja kebaikan dengan hati yang tunduk, yang tawadhuk, penuh malu kepada Tuhan, rasa takut dan cemas. Takut kalau-kalau amalan kita itu ditolak oleh Allah Taala. Firman Allah: Maksudnya:
“Ikhlas itu satu rahsia dalam rahsia-Ku, Aku titiskan ia dalam hati hamba-hamba-Ku yang Aku kasihi.” (Hadis Qudsi)

“Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran lahir kamu tapi dia melihat apa yang ada di dalam hati kamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita berhati-hati moga-moga kita selamat. Ya Allah, berilah kami selalu hidayah dan taufik-Mu agar perjalanan lahir dan batin kami berjalan selari menuju keredhaan-Mu, ya

0 ulasan: