BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

23 Jun 2011

Demi Senyuman Itu

“Nama dia Farah. Kenapa tanya?” soal Rafiq. Dahinya berkerut-kerut.

“Saja nak tahu. Yang kau sibuk kenapa?” soal Toha kembali.

“Ni mesti kau minat dia kan.. Ooo.. Dalam hati ada taman ya?” Si Rafiq mengusik lagi sambil mengangkat kedua-dua keningnya. Toha hanya menggelengkan kepalanya. Rafiq, sehari tidak mengusik orang tidak sempurna harinya. Ada sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya yang menggeletek rasa lucu di hati rakan sekuliahnya.

Toha kembali mengerling ke arah gadis yang bernama Farah itu. Mukanya ala-ala Doktor Jill Roberts dalam drama Chuck, yang dilakonkan oleh Jordana Brewster. Duduk keseorangan di penjuru kelas. Pandangannya kosong dilontarkan ke luar tingkap, tangannya menongkat dagu. Melalui matanya yang dihiasi dengan sepasang cermin mata, Toha dapat melihat kepedihan yang maha dalam. Tidak terungkap rasa sakitnya. Derita yang hanya akan difahami oleh siapa yang melalui sahaja. Dia melihat ke luar, arah dilihat oleh Farah. Tiada apa yang menarik. Yang tergambar hanyalah sekadar beberapa orang pelajar yang sedang menyusuri jalan raya.

Entah bagaimana, dia tahu apa yang dilihat oleh Farah. Renungannya tajam. Terlalu tajam. Tajam hinggakan ianya bisa untuk menembusi 7 petala langit. Semata-mata untuk mencari bayang seseorang yang telah lama tidak lagi berdenyut jantungnya. Farah termenung lagi. Bayang insan yang amat disayanginya bermain-main di dada. Rasa sebak mula menghimpit jiwa. Jiwa yang dibanjiri rasa rindu yang sarat kepada si dia. Ah! Mengapakah dia harus pergi?





“Assalamualaikum..” Farah tersentak. Titisan jernih yang membasahi kelopak matanya segera dilap sebelum berjejeran. Matanya yang berkaca cuba dilindung.

“Waalaikumsalam..” jawab Farah perlahan. Sekilas, dia memandang lelaki yang menegur sebentar tadi. Toha sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum manis. Sejurus, dia meletakkan sekeping kertas yang berlipat dua di atas meja Farah lalu kembali ke tempat duduknya di sebelah Rafiq. Farah yang terpinga-pinga diperlakukan sebegitu, membuka kertas tersebut perlahan-lahan.

Sebab saya dah bagi salam tadi, jadi rasanya tak perlu saya bagi salam lagi dalam kertas ni kan. Mm.. saya Toha, pelajar baru kat kelas ni. Saya bagitahu ni takut2 awak tak tahu. Ye la, orang tu kan asyik termenung jauh beribu batu je. Saya bukan nak berkenalan pun, cuma nak kongsi dengan awak satu cerita.

Satu hari, Ariff membawa pulang sebuah robot yang akan tampar orang yang menipu. Bila anak lelakinya balik, Ariff pun tanya la ke mana dia pergi. Anaknya kata dia pergi belajar dengan kawan. Pang! Robot itu tampar budak tersebut. Ariff pun terangkan kepada anaknya yang robot tersebut akan tampar orang yang menipu. Akhirnya, anaknya mengaku yang dia pergi menonton video lucah.

Ariff pun kata, ‘Apa la nak jadi dengan kau ni. Siapa yang ajar kau tengok video lucah ni? Ayah kecil2 dulu tak ada pun tengok video lucah tahu!’ Pang! Robot tersebut menampar Ariff kerana menipu.

Isterinya pun menyampuk, ‘Alah.. abang marah2 dia pula.. kan anak abang juga..’ Pang! Robot itu menampar isteri Ariff. Saat itu, tiga beranak tersebut diam tidak terkata.

Saya yakin mesti awak tersenyum bila baca cerita saya ni. Harap awak boleh biarkan senyum tu duduk di tempatnya selalu. Jangan biarkan hidup awak diselubungi… misteri.. ^_^

Dengan tidak semena-mena, senyuman terukir di bibir Farah. Warkah tersebut Berjaya menerbitkan sinar di jiwanya yang telah lama malap dari kebahagiaan. Matanya bergerak-gerak, mencari susuk tubuh insan yang mencoretkan warkah yang baru dibacanya. Toha yang sedang duduk di meja beberapa baris di hadapannya, sedang berborak mesra bersama kawan-kawan lelakinya.

“Untuk pengetahuan semua hari ini, dalam hati Toha ada taman…” laung Rafiq sekuat-kuatnya sambil meletakkan kedua tangannya di mulut seperti trompet. Rafiq, dapat sahaja bahan untuk diusiknya, 24 jam perkara itu meniti di bibirnya. Mulutnya tidak pernah berhenti bercakap. Kerana itulah dia digelar Seven Eleven.

“Wei Rafiq, kau pernah makan sup kasut tak?” jerkah Toha. Terasa geram diusik begitu. Mukanya merah padam kerana malu.

“Sup kasut? Tak pernah pula. Mahal tak? Aku tak ada duit la. Elaun aku dah nak habis dah. Lainlah dengan kau, banyak duit. Tu yang boleh beli blusher tu. Habis merah satu muka macam sekarang.” Rafiq sengaja menekankan suaranya agar didengari oleh semua pelajar di kelas.

“Sini kau, Rafiq! Biar aku suapkan sup kasut nak?” Toha bangun dari kerusinya sambil mencekak pinggang.

“Tak nak! Tak nak! Aaaaa…” Sepantas kilat, Rafiq bangun berlari ke luar kelas sambil berteriak. Kedua-dua tangannya diangkatkan ke atas dan digoyangkan seperti orang gila. Toha pula meluru mengejar temannya itu bagaikan kerbau yang mengamuk kerana kehilangan anak. Melihat telatah mereka yang seperti kanak-kanak belum matang, semua rakan sekelas mereka ketawa.. Termasuk Farah..

***************************************************

Jarum jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Jarinya bergerak-gerak di papan kekunci komputer bagaikan orang yang menari-nari. Bola matanya sedang khusyuk memerhatikan skrin. Tidak berkelip. Toha berpaling melihat rakan sebiliknya sudah lama diulit mimpi, sesekali bersuara kerana mengigau. Toha tertawa kecil. Kemudian, dia menyambung kembali kerjanya.

Blog milik Farah menjadi tujuannya malam itu. Objektifnya satu. Memahami sendiri gelora hati gadis itu. Sebenarnya, Rafiq sendiri ada menceritakan tragedi yang menimpa Farah. Sebelum tragedy itu, Farah yang dikenali semua orang ialah seorang gadis yang periang. Senyuman lebar sentiasa meniti di bibirnya. Sikapnya disenangi oleh semua. Hinggalah suatu hari, khabar berita kematian seorang taman rapatnya diterimanya. Sejak itu, dia berubah 180 darjah. Kini, dia lebih banyak termenung. Sikap peramahnya bertukar menjadi pendiam. Bibirnya bagaikan terkunci kini. Hanya air mata menjadi peneman duka. dirinya yang nanar bagaikan mengejar bayang-bayang

“Hah! Jumpa pun!” teriak Toha seorang diri setelah menemui ruangan blog Farah yang dicari-carinya. Tulisan yang bertarikh 4/3/2011 menarik minatnya serta-merta. Tajuknya, Tiada Lagi Encik Tembam..

assalamualaikum... da lama aku tak jenguk bloggie sayang aku ni.. :( maaf yea, aku serabut sangat minggu ni... sangat sangat serabut... :'( innalillahiwainnailaihirajiuun... pergi nya insan yang aku sayang... En Tembam aku.... pergi buat selama lamanya... Ya Allah, luluh hati aku saat mendengar berita kepergian nya, kehilangan nya, dan kematian nya... hari jumaat, 25/2/2011, hari yang aku rasa nyawa aku pun turut melayang... hari jumaat yang mulia, arwah pergi menemui Yang Maha Esa... aku sangat sangat terasa dengan kehilangan nya... sepanjang perkenalan, tidak pernah sehari pun kami miss contact.. even satu mesej sehari... manakala, 4/3/2011, genap seminggu arwah pergi buat selama lama nya..

Ya Allah, masih terngiang ngiang suara nya di telingaku, umpama baru semalam kami bercakap di telefon.. betapa susah aku hendak melalui hari hari ku setelah ketiadaan nya... tiada lagi teman gaduhku, peneman studyku, pendengar setia masalahku dan tiada lagi cik Tembam yang aku sayang... sepanjang 8 hari ketiadaan nya, tidak pernah sehari pun aku tidak menangis... air mataku kini menjadi sangat murah... aku percaya, ada hikmah di sebalik semua ini...

Aku percaya, Allah telah menyediakan percaturan hidup yang terbaik untuk setiap hambaNya.. aku juga percaya, Allah akan menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik setelah Dia mengambil sesuatu yang terbaik.. aku sangat sangat perlukan kekuatan untuk meneruskan hari hari ku tanpa nya di sisi aku... mujur, ramai yang menyayangi ku.. ramai sangat yang care pasal aku... kepada keluarga ku, terima kasih kerana memahami adik.. terlampau berat dugaan yang adik hadapi di saat adik berumur 19 tahun.. terlalu muda untuk menerima kematian orang yang adik sayang.. kepada teman teman yang tidak putus putus memberi semangat, aku sangat terharu dengan korang.. sentiasa bersamaku tidak kira susah atau senang... kepada keluarga arwah, farah tahu, lebih sukar untuk kalian menerima ketiadaan arwah daripada farah.. tetapi, percaya lah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah nya.. insyaAllah..

Ya Allah Ya Tuhan ku, aku memohon, berikan lah aku kekuatan untuk aku meneruskan hidup ku.. perjalanan hidup masih jauh.. masih banyak liku liku kehidupan yang perlu aku aku tempuh.. aku tahu, kau mengujiku kerana aku mampu menghadapi nya, tetapi, sangat berat bagi aku untuk melalui nya.. doakan aku lebih tabah untuk menerima setiap dugaan yang Allah berikan untukku..

****************************************************

Ruang redup dan damai basah itu membuatkan hatinya semakin sayu dikerat hari. Awan yang terapung di langit seolah-olah member laluan untuk hujan turun seleba-lebatnya. Lebatnya hujan di luar, selebat itu juga hujan di hati Farah. Setitis air hujan hingap di sehelai daun lalu mengalir laju ke tanah, selaju air mata Farah ketika itu. Esak tangisnya bergema lagi. Farah memeluk teddy bear ‘Pooh’ pemberian arwah sahabatnya erat-erat. Di bahu ‘sahabat dukanya’ itu, Farah menghamburkan air matanya. Kesedihan yang menghimpit jiwanya, mengurungnya dalam memori silam. Segalanya dicurahkan tanpa ditahan-tahan.





Masih segar memorinya ketika mula-mula menerima berita pemergian sahabatnya itu. Dunia terasa gelap gelita serta-merta. Cerahnya pagi esok tidak akan dapat mencerahkan kemuraman perasaaannya. Berita itu terlalu berat baginya untuk ditanggung. Berat, terlalu berat. Andai sebuah gunung menimpanya, itu jauh lebih ringan daripada berita pemergian sahabatnya. Berita itu benar-benar menghiris hati, menikam tepat di jantungnya. Dan lukanya masih kekal sehingga hari ini. Hati itu didera kerinduan.

Kala ini, tiada lagi suara yang memberikannya semangat, sokongan dan dorongan apabila dia dilanda masalah. Tiada lagi pendengar setia untuk berkongsi. Tiada lagi Encik Tembam.. Tiada lagi kini.. Tiada lagi..

****************************************************

“Assalamualaikum..” suara seorang gadis menyapa telinganya. Toha yang sedang duduk keseorangan di cafeteria menoleh lalu melontarkan senyuman apabila melihat Farah.

“Ooo.. sekarang ni trend jawab salam dengan senyum ke?” ujar Farah apabila salamnya tidak disahut.

“Eh, tak adalah. Saya jawab dalam hati je. Mm.. yang lain mana? Kata tadi nak buat kerja sama-sama?” soal Toha sambil tertoleh-toleh. Mencari 2 orang lagi kawan perempuan sekelasnya untuk menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah mereka. Entah bagaimana dia seorang sahaja lelaki boleh terpelosok dalam kumpulan dengan perempuan. Toha menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Dia orang ada urusan lain la, tangguh ke esok tengahari. Okey?” Farah meminta persetujuan. Toha hanya mengangguk sebagai jawapan.

Farah pun berpaling untuk pulang ke kolejnya. Tiba-tiba..

“Semalam saya baca blog awak bertajuk tiada lagi encik tembam..” suara Toha singgap di gegendang telinganya. Farah tersentak sebelum menoleh kembali.

“Jadi?” tanya Farah.

“Tak jadi apa-apa pun. Cuma apa yang dapat saya rasakan ialah awak menulisnya dengan sepenuh hati awak..”

“Apa buktinya?” tanya Farah lagi. Kedua keningnya terangkat.

“Wah! Macam polis pula nak soal siasat?” Toha melontarkan sengih apabila ditanya bertalu-talu.

“Jawab sajalah.” Jawab Farah ringkas.

“Sebab tulisan awak berjaya menyentuh hati saya, Farah. Hanya hati yang bisa berbicara dengan hati.” Terang Toha dengan jujur. Setelah membaca blog Farah semalam, dia dapat memahami duka yang terpalit pada hidup Farah. Mengerti setiap esak tangis Farah kini. Sekilas, dia dapat melihat mata Farah mula berkaca.

“Farah, jujur saya cakap, rasanya saya takkan dapat faham perasaan awak. Sebab saya sendiri tak pernah kehilangan siapa-siapa yang sangat penting dalam hidup saya. Keluarga saya, alhamdulillah, semua masih bernafas hingga hari ini. Memang ada teman saya yang telah meninggal dunia tapi.. tak serapat awak dan arwah sahabat awak..” jelas Toha dengan perlahan. Suaranya yang parau mengungkapkan segala yang terbuku di dada.

“Memang memori yang lepas itu indah, Farah. Indah, cukup indah! Namun, awak biarkan ia merantai awak, memenjarakan awak untuk mengecapi keindahan yang kini. Awak terus hanyut dalam lautan duka sedangkan di hadapan awak ada pulau bahagia. Itu tak adil untuk diri awak sendiri. Tak adil, sangat tak adil..” terang Toha lagi bersungguh-sungguh.

Air mata Farah perlahan-lahan mengalir di pipi Farah, kemudian jatuh ke bumi. Hatinya dicengkam pilu saat bercakap tentang arwah sahabatnya. Pemergian itu bagaikan turut meragut kegembiraan bersama. Farah menghembuskan nafas berat.

“Saya memilih jalan ini sendiri sukarela, Toha. Usah awak menyibuk..” tegas Farah sambil mengetapkan bibirnya. Matanya basah.

“Cuba awak fikirkan, Farah. Andai sahabat awak sangat sayangi itu masih hidup, adakah dia rela awak memilih jalan ini untuk meneruskan kehidupan? Adakah dia rela awak menempuh hari demi hari sambil menangisi pemergian dia?”





Pertanyaan itu bagaikan dentuman kilat yang berdentum di telinga Farah! Hatinya bagaikan terbelah, dirobek di situ juga. Dadanya berombak. Rasa sebaknya tidak tertahan lagi. Lantas, Farah menghamburkan air matanya sepuas-puas. Tidak sedikit pun ditahan. Langsung tidak malu dengan Toha yang memerhatikannya. Air matanya begitu murah. Dicurahkan tanpa ditahan. Meluahkan segala rasa yang terbuku di hati. Diluahkan dalam bentuk titisan jernih yang mengalir laju di pipinya.

“Farah, dia tak pilih untuk pergi tinggalkan awak. Ini dah ketetapan Illahi. Farah, andai dia dapat lihat apa yang awak sedang lakukan, menangisi pemergiannya, pasti dia tak dapat memaafkan diri sendiri. Dia takkan mahu awak menangisi ketiadaannya. Pasti dia harapkan Farah kesayangannya kekal tabah dan ceria seperti Farah yang semua kenal.

Awak membiarkan diri tanpa haluan saat kepedihan memaku perasaan. Awak bagai dipenjara kenangan silam. Di luar penjara ialah setiap kegembiraan dan kebahagiaan yang menunggu. Kunci untuk keluar dah ada di tangan awak tapi awak tak nak keluar. Awak tak nak! Awak nak tinggal dalam penjara tu sampai bila?” luah Toha dengan penuh perasaan. Harapannya agar Farah tidak lagi terbelenggu dengan kedukaannya sendiri.

Farah hanya tunduk, mendiamkan diri. Bibirnya seperti terkunci. Tiada perkataan yang keluar dari mulutnya walaupun sepatah. Kedua tangannya digenggamkan.

“Habis, awak nak saya buat apa? Lupakan kenangan itu?” tanya Farah. Nadanya sayu lagi pilu. Rasa sebak menebak di dada. Pipinya basah dek juraian air mata.

“Tak, Farah. Awak genggam kenangan itu sebagai bingkai hidup yang telah berlalu tapi jangan sekali awak hidup dalam kenangan tu. Kerna, kenangan, melihatnya amat indah dan manis, namun hidup di dalamnya ibarat racun yang memakan diri.

Jangan bersendirian, nanti memori tu menghimpit kembali. Sibukkan diri awak dengan perkara-perkara lain yang menggembirakan diri awak. Cari kembali sinar dalam diri awak yang kian malap. Cari kembali sinar awak, Farah..”

***************************************************

Pasukan Bola Jaring Universiti Teknologi Malaysia bersorak gembira apabila diumumkan sebagai pemenang pingat emas dalam permainan Bola Jaring dalam Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia yang bertempat di Universiti Putra Malysia, Serdang. Kesemua ahli pasukan berpelukan, terlalu gembira. Setelah penat lelah yang diharungi ketika latihan dan perlawanan dengan pasukan bola jaring dari universiti, cukuplah pingat emas menjadi pengubat. Terasa berbaloi dengan segala usaha yang dicurahkan selama ini. Segarit senyuman menjadi penghias muka mereka. Antara yang paling gembira ialah Farah, penyerang dalam pasukan bola jaring Universiti Teknologi Malaysia.

“Assalamualaikum..” seseorang menyapanya dari belakang setelah majlis penyampaian hadiah berakhir. Farah berpaling dan mendapati seorang lelaki seakan-akan dispatch sedang memegang satu bungkusan besar.

“Farah Izzati?” tanya lelaki tersebut. Farah mengangguk. Setelah lelaki tersebut berlalu pergi, Farah membuka bungkusan tersebut dan mendapati..

Teddy bear Pooh?” Dan Farah tersenyum apabila mendapati ia sedang memegang sekeping kad yang bertulis..

Tahniah!!!

Daripada: Toha Hanafi

0 ulasan: