BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

29 Disember 2010

Kenapa Kau Bagi Salam Kat Semua Orang?

Inilah sebuah potongan babak daripada Novel Laksana Bulan. Bacalah dan fahamilah isi yang tersirat.


Mulutnya laju mengunyah makanan. Sudu dan garfu sesekali berlaga. Ikan keli masak sambal itu dilahap. Faiz menutup mata, bagaikan menunjuk kelazatan makanan tengaharinya. Kafeteria yang terletak di Menara Sultan Abdul Aziz hingar-bingar, dipenuhi dengan staf dan para pelajar yang datang untuk mengisi perut pada waktu tengahari. Kebanyakan meja di situ telah pun dipenuhi. Masing-masing sedang menjamah makanan.

Tatkala sedang menghabiskan sisa-sisa makanannya, pandang Faiz menangkap seseorang yang sememangnya dia tunggu selama ini. Akmal! Ketika Akmal sedang mencari-cari tempat untuk dia duduk, Faiz mengangkat tangannya.

“Assalamualaikum, Akmal!” laung Faiz. Laungannya didengari oleh hampir separuh pengunjung kafetaria tersebut. Akmal menjawab salamnya seraya mendekati Faiz.

“Aii.. seorang je makan? Boleh aku join?” tanya Akmal penuh berharap.

Faiz membuat muka serius. “Kalau berani, duduk la.” Suaranya tegang. Akmal berkerut. ‘Aku ada buat salah ke?’, gumam hatinya. Faiz tergelak kecil. “Aku gurau je la. Haha.. duduk je la. Aku pun lonely ni.” Jelas Faiz. Tawa masih tersisa.

Akmal meletakkan begnya seraya melabuhkan punggung di atas kerusi. Matanya memerhatikan barisan pelajar yang beratur panjang untuk membeli makanan. Faiz merenungnya dari atas ke bawah. Wajah Akmal yang sederhana gelap itu dihiasi dengan sepasang cermin mata. Akal Faiz mula mencanang perancangannya.

Faiz berdehem beberapa kali untuk menarik perhatian lelaki di hadapannya itu. “Em.. aku nak tanya, biasanya kan kau bagi salam kat semua orang kau jumpa. Kenapa kau tak bagi salam kat aku pula kat kafe ni?” soal Faiz.

“Sebab kau tengah makan. Makruh hukumnya bagi salam kat orang yang tengah makan.” Jelas Akmal.

“Kenapa pula kau tak bagi salam kat perempuan?” soal Faiz lagi.

“Eh.. aku bagi salam apa kat nenek aku. Aku cuma tak bagi salam kat perempuan bukan muhrim je.” Gurau Akmal.

“Tapi kenapa?”

“Untuk elakkan fitnah. Nanti tak pasal-pasal aku dituduh nak mengurat pula.”

“Kenapa pula kau bagi salam kat semua orang?” soal Faiz bertalu-talu.

“Sebab tak ada satu dalil pun yang menyuruh kita bagi salam kat orang yang kita kenal je. Dalam bagi salam, kita bukan je doakan orang, orang juga akan doakan kita balik. Dapat pahala pula tu.” Jawab Akmal panjang lebar. Faiz terdiam. Sememangnya lelaki di hadapannya ini melakukan sesuatu bersebab. Bukan sekadar hentam keromo.

“Panjang kau soal siasat aku tapi aku tak tahu pun nama kau. Kau je tahu nama aku.” Akmal menyindir.

Faiz tersengih. Tangannya dihulurkan. “Nama aku Faiz. Mohd Faiz bin Zaman dari jurusan akaun.” Tangannya disambut. Mereka berjabat tangan. Jalinan ukhuwah mula bertaut.

Sejak hari itu, Faiz dan Akmal menjadi rapat meskipun berlainan jurusan. Walaupun pada mulanya Faiz berasa janggal, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa dengan tabiat Akmal yang dirasakan aneh. Tabiat yang rasanya tidak pernah dibuat orang. Pantang mendengar ada orang sakit, cepat-cepat Akmal melawat walaupun langsung dia tidak mengenali orang tersebut. Kalau seseorang ada masalah, pasti Akmal meluru untuk membantu sekadar termampu. Wajahnya tidak pernah lokek dengan senyuman. Prestasi pelajarannya juga membanggakan. Kerana itulah, Faiz menyenangi sikap Akmal itu. Bahkan semua warga UiTM Kampus Shah Alam yang mengenali Akmal menyenanginya.

Cuma, terdapat satu tabiat Akmal yang tidak digemari oleh rakan-rakan sekolejnya. Setiap hari, Akmal akan mengetuk pintu bilik-bilik rakannya untuk mengejutkan mereka agar menunaikan solat subuh. Yang geramnya, ketukan Akmal itu bagaikan hendak memecahkan pintu. Kalau tidak kerana tujuannya baik, pasti Akmal sudah lama ditengking.


0 ulasan: