BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

28 Disember 2010

Kiamat 2012?

Assalamualaikum..

Setelah lama tidak menulis sendiri post sendiri, akhirnya saya berjaya mencuri masa untuk berbuat demikian. Saya tertarik untuk mengupas sedikit tentang Kiamat 2012 berdasarkan kejadian yang saya baru sahaja lihat sebentar tadi. Ketika saya sedang mencari-cari buku 'Fadail Masa'il' di MPH Bookstore, Alamanda Putrajaya, tiba-tiba saya terdengar perbualan dua beranak yang menusuk telinga saya.

Anak: Ayah, nak beli buku.
Ayah: Beli buku apa? Jangan beli buku kartun dengan komik pula?

Saya mengerling ke arah mereka. Si anak umurnya lebih kurang belasan tahun manakala sebapa mungkin 40-an. Yang pasti, uban telah memenuhi ruang kepalanya. Si anak pun mencapai sebuah buku yang menarik hatinya. Tajuknya, Kiamat 2012.





Ayah: Mengarut je buku ni. Mana ada kiamat jadi 2012. Membazir je beli buku ni. Baik beli buku pelajaran.

Saya mengukir senyuman di bibir. Mengarut? Benarkah?

Beberapa bulan lepas, seorang pensyarah USIM telah datang ke IPG KPI untuk mengupas tentang Kiamat 2012 ini dan ternyata, sambutannya hanya sederhana. Namun, saya tetap menghadirkan diri untuk mendapatkan sedikit info.

Menurutnya, kiamat 2012 ini asalnya merupakan ramalan suku Mayan yang bertapak si America Selatan. Tarikh yang diramalkan berlakunya kiamat ialah 21 Disember 2012. Ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini rasanya tidak mengendahkannya. Sebab ianya hanya sebuah ramalan.

Saya ada satu persoalan, jika benar kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut, apakah anda sudah bersedia? Jangan katakan mustahil kerana Allah hanya perlu mengatakan 'KUN FAYA KUN'. Pasti ianya akan terjadi.

Mengapa masing-masing sibuk takut akan kiamat tetapi tidak risau akan kematian dirinya sendiri? Amalan sudah banyakkah?

Saudaraku yang dirahmati Allah,
Ingatlah bahawa perkara yang PALING DEKAT dengan kita ialah MATI. Hendak atau tidak, ianya pasti akan tiba. Kita bukan semakin dewasa tetapi semakin dekat dengan kematian. Sedangkan seorang pelajar yang baru sahaja mengambil keputusan PMR meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah, apatah lagi kita yang berusia lebih dari itu. Bayi yang berada dalam kandungan juga begitu mudah meninggal dunia.

Berapa kalikah kita pernah berfikir sejenak? Apakah tujuan kita DIHIDUPKAN (istilah yang lebih sesuai dari hidup kerana kita hidup bukan atas kehendak sendiri)? Adakah sekadar hendak belajar tinggi-tinggi, berumah tangga, mendapatkan perkerjaan yang bagus, mencari harta untuk keturunan kita semata-mata? Adakah berbaloi jika hidup ini hanya sekadar untuk itu?

INGATLAH! Bahawa syurga dan neraka itu sememangnya ada. Andai syurga dan neraka tiada dan tiada balasan atas perbuatan kita di dunia ini, lebih baik kita menjadi orang jahat. Lebih seronok! Boleh berbuat sesuka nafsu!

Tetapi sebenarnya inilah ujian Allah kepada kita, hambaNya. Allah menghijabkan pandangan kita dari perkara-perkara ghaib (Sam'iyyat). Kerana itulah malaikat pernah berkata andai manusia dapat melihat syurga, PASTI mereka berlumba-lumba untuk mendapatkannya dan andai manusia boleh melihat neraka, PASTI mereka berusaha untuk menjauhinya. Memang mudah untuk melafazkan cinta, tetapi bagaimana hendak membuktikannya? Pastilah dengan diuji.

Jika kita dapat mengehtahui tarikh kematian kita atau tarikh hari kiamat yang tepat, pasti ramai dalam kalangan kita yang akan berfoya-foya terlebih dahulu dan apabila masanya kian hampir barulah mereka bertaubat. Apakah itu bukti cinta yang sebenar?

Pada pendapat saya, tidak usah sibuk mengkaji atau meramal tarikh kiamat kerana lebih baik kita bersedia SENTIASA untuk menghadapinya. Jika tarikh tersebut tepat, maka kita telah pun bersedia. Jika tarikh tersebut tidak tepat, kita tetap bersedia dan beribadat kepada Allah. Masa depan tidak terjangkau oleh fikiran kita yang terbatas ini.

InsyAllah, sama-sama kita perbanyakkan amal dan tingkatkan iman. Barakallah alaikum. Wasalam..

0 ulasan: